Gara-gara termakan dakyah Pas, akhirnya guru KAFA terpaksa telan ludah sendiri

Gara-gara termakan dakyah Pas, akhirnya guru KAFA terpaksa telan ludah sendiri

“Kenapa mahu usik gaji kami yang sedikit ini?” soal seorang guru Kafa (Kelas al-Quran dan Fardu Ain) mengenai keputusan menangguhkan bayaran elaun kepada pengajar yang cuti bersalin.

Alia (bukan nama sebenar) menggesa pihak atasan meletakkan diri mereka dalam keadaan guru Kafa, yang masih menerima elaun terlalu sedikit berbanding golongan pendidik lain.

“Ada yang kata kami ini guru Kafa saja. Tapi kami pun mengajar. Kami pun dihantar ke kursus sana sini. Kami pun buat kerja dokumentasi. Tapi gaji kami tetap tak ada kenaikan.

“Tiba-tiba elaun nak diambil pula. Ada beberapa kawan saya tengah mengandung sekarang…bayangkan perasaan mereka. Bila bersalin, kami nak pakai duit…beli keperluan bayi, keperluan selepas bersalin kami. Kami perlukan elaun itu,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengumumkan penangguhan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh kepada guru Kafa seperti yang diumumkan Januari lalu.

Perkara itu disahkan Ketua Pengarah Jakim, Hakimah Mohd Yusoff yang menjelaskan keputusan dibuat sebagai mematuhi saranan dan pandangan Kementerian Kewangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Idris Ahmad semalam memberitahu beliau sudah berjumpa dengan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Aziz dan merayu agar menimbang kembali keputusan membabitkan guru Kafa seliaan Jakim itu.

Seorang lagi guru Kafa yang dihubungi FMT, Afiqah (bukan nama sebenar) berkata hakikatnya cuti bersalin bukanlah diambil saban tahun oleh guru agama.

“Bukan setiap tahun pun kami cuti bersalin pun. Bukan pun elaun kami semuanya RM1,600. Ada yang RM1,400 saja. Terlalu sikit jika nak dibandingkan dengan gaji menteri-menteri yang banyak itu.

“Kalau ikutkan sebelum ini kami guru Kafa diberi elaun penuh untuk tiga kali bersalin. Tapi sekarang tangguh terus,” katanya.

Menurut Afiqah, beliau dan guru Kafa yang lain hanya mampu merungut sesama mereka dan berharap keputusan rayuan oleh Jakim terhadap Kementerian Kewangan akan memihak kepada mereka.

“Kami ini kerja mengikut sistem yang sama macam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), kami (juga) dihantar berkursus.

“Skop kerja kami bertambah berbanding dahulu. Tapi kalau bab gaji, tak nak pula ikut sistem KPM? Macam kami ini dimain-mainkan…di ‘ayam-ayamkan’,” keluhnya.