Gara-gara terpecah ‘lobang’, instafamous bakal dikompaun
Instafamous yang berbulan madu bersama suaminya di Johor akan dikenakan kompaun kerana didapati memberikan keterangan palsu berkaitan alasan memohon kebenaran rentas negeri.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, siasatan secara menyeluruh mendapati wujud keraguan berdasarkan keterangan yang diberikan oleh pasangan berkenaan kepada polis pada 20 Mac lalu.
“Oleh yang demikian, polis membuka kertas siasatan terhadap kedua-dua individu terbabit mengikut Seksyen 22(d) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).
“Jika disabitkan kesalahan, pasangan ini boleh dikenakan tindakan kompaun sehingga RM10,000,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, hasil siasatan juga mendapati pasangan ini memberikan keterangan palsu berkaitan alasan memohon kebenaran rentas negeri.
“Pasangan ini membuat persiapan awal dengan membuat tempahan hotel lebih awal secara atas talian pada Disember 2020 untuk menyambut ulang tahun perkahwinan pada 17 Mac lalu.
“Polis mengingatkan orang ramai supaya tidak sesekali menyalahgunakan kebenaran rentas negeri yang diberikan untuk urusan perniagaan, kerja atau pun kecemasan dengan menjalankan program peribadi lain serta bercanggah dengan alasan yang diberikan kepada polis sewaktu memohon pergerakan rentas negeri,” katanya.
Terdahulu, gambar pasangan berusia dalam lingkungan 20-an itu tular di media sosial kononnya pergi berbulan madu di suatu kawasan peranginan sehingga dikecam oleh warganet pada Jumaat lalu.
Susulan itu, polis pada 21 Mac lalu memanggil pasangan terbabit untuk dirakam percakapan sebelum memutuskan tiada tindakan diambil terhadap pasangan berkenaan. – HM