Gara-gara tiada grup ‘whatsapp’, Menteri Luar & Duta Khas PM buat kenyataan yang memalukan negara

Gara-gara tiada grup ‘whatsapp’, Menteri Luar & Duta Khas PM buat kenyataan yang memalukan negara

Kenyataan Duta Khas kepada Perdana Menteri ke China Tiong King Sing terhadap Speaker Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) Nancy Pelosi berhubung lawatannya ke Taiwan, baru-baru ini, tidak sejajar dengan pendirian Wisma Putra, kata Menteri Luar Saifuddin Abdullah.

“Kenyataan beliau tidak sejajar dengan perbincangan yang diadakan di Wisma Putra (mengenai perkara itu),” kata Saifuddin kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku pagi tadi, seperti dilaporkan portal FMT.

Semalam, Tiong dilaporkan berkata, lawatan Pelosi menjejaskan kestabilan rantau itu; beliau menuduh AS melanggar dasar “Satu China” dan menggesa negara barat tidak mengamalkan dwistandard dengan mengutuk pencerobohan Rusia di Ukraine, namun mencampur tangan di rantau Selat Taiwan serta menggunakan Taiwan untuk memecah belahkan China.

Saifuddin berkata, beliau tetap dengan kenyataan Kementerian Luar dan Asean untuk mengutamakan keamanan dan kestabilan rantau ini.

Dalam perkembangan lain, Pengerusi Bersatu Pahang itu enggan mengulas khabar angin Perikatan Nasional (PN) mungkin menarik balik sokongannya kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob.

“Gabungan parti masih menjadi keutamaan Bersatu kerana fokus kami adalah untuk mengekalkan kestabilan politik. Bagi Bersatu, gabungan dalam kalangan parti politik masih menjadi tumpuan kami.

“Semua mahu menang pilihan raya, tetapi lebih daripada itu, kestabilan politik yang datang selepas menang itu yang penting,” katanya.

Pada malam Rabu, Pejabat Perdana Menteri membatalkan mesyuarat antara pemimpin Bersatu dan Ismail yang telah dijadualkan pada hari berikutnya.

Sebelum ini, pemimpin dari Bersatu telah mendesak perdana menteri untuk menghormati perjanjian untuk melantik timbalan perdana menteri daripada parti itu.