Gaya pemanduan ala samseng jalan raya, gelagat bahaya polis peronda ini undang cemuhan wargamaya

Gaya pemanduan ala samseng jalan raya, gelagat bahaya polis peronda ini undang cemuhan wargamaya

Bila tengok video yang tular hasil rakaman pengguna Facebook Hamdan Zakaria, seriau juga dibuatnya. Bayangkan bila kita tengah memandu dengan tenang, di laluan begini, tiba-tiba ada kereta peronda polis muncul secara ‘face-to-face’ sebegini, diikuti dengan trak flatbed yang membawa kereta, mahu tak ‘menakutkan’.

Menerusi rakaman ini, kelihatan sebuah kereta peronda Polis DoRaja Malaysia (PDRM) jenis Honda Civic yang memotong di garisan berkembar dan melalui lorong bertentangan, dengan lampu strobe dinyalakan. Kemudian ia diikuti oleh konvoi dua buah trak flatbed dan sebuah Ford Ranger putih di belakangnya, yang turut menggunakan lorong yang sama dengan kereta perakam.

Kelihatan juga menerusi video berkenaan, trak flatbed tersebut masing-masing membawa jentera mewah Bentley Mulsanne dan Mercedes-AMG E63 station wagon.

Ketika itu, tertera kelajuan kereta yang dipandu oleh saudara Hamdan bergerak dalam kelajuan lebih kurang 93 km/j. Dalam keadaan ‘yang tiba-tiba itu’, si perakam juga sempat memperlahankan kelajuan keretanya dan bergerak ke tepi (mujurlah ada ruang bertanah) untuk memberikan laluan kepada konvoi terbabit.

Polis-luxury-car-flatbed-truck-escort-4-BMPolis-luxury-car-flatbed-truck-escort-3-BM

Jika diteliti video ini, kereta mewah yang diangkut oleh trak flatbed kedua, tertera pelekat “Pejabat Sultan Kelantan” pada bahagian atas cermin hadapannya. Walau pun mungkin juga tidak semestinya konvoi berkenaan ditugaskan atas arahan keluarga diraja negeri tersebut. Hanya polis berkenaan sahaja yang tahu alasannya mengapa bertindak sedemikian.

Apa pun, semua sedia maklum bahawa garisan berkembar yang dicat di atas permukaan jalan adalah atas alasan keselamatan dan kita semua sedia maklum bahawa memotong di garisan berkembar adalah melanggar undang-undang lalu lintas.

Bukan setakat memotong di garisan berkembar, adalah menjadi satu kesalahan sekiranya meletakkan kenderaan, membuat pusingan U atau melintasi lorong bertentangan di garisan berkembar juga adalah satu kesalahan yang boleh dikenakan saman sebanyak RM300, dan hukuman berat boleh dikenakan sekiranya menjadi punca kemalangan jalan raya yang menyebabkan kecedaraan atau kematian pengguna jalan raya yang lain.

Sumber – PaulTan.org