Gejala rasuah dalam badan sukan, SPRM sahkan pendedahan Adam Adli berasas

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Razim Mohd Noor mengesahkan agensi tersebut mendapati wujud aktiviti rasuah dalam industri sukan negara dari segi pengurusan dana dan sebagainya.
Ini sekaligus mengesahkan kebimbangan yang diluah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli semalam mengenai kewujudan gejala rasuah yang mampu merencat pencapaian atlet sukan negara yang berpotensi tinggi meraih kejayaan di pentas antarabangsa.
Mengulas lanjut isu tersebut, Razim berkata punca peruntukan dana tidak sampai kepada golongan sasaran disebabkan sikap tamak atau (hendak) cara mudah dapatkan duit pengendali badan sukan tersebut.
“Apa yang penting di sini antara hasilnya ialah ada yang timbalan pendakwa raya bersetuju bawa ke mahkamah tetapi yang banyaknya terdapat kelemahan-kelemahan dalam tadbir urus persatuan-persatuan sukan berkenaan,” katanya, memetik laporan Berita Harian.
Tambahnya lagi, SPRM juga bersedia membantu dan memberi kerjasama kepada badan atau persatuan sukan yang mahu memperkemaskan sistem dan tadbir urus mereka.
Sementara itu, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang terpukul dengan dakwaan tersebut menggesa Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abd Halim supaya menjustifikasikan dakwaan beliau bahawa badan sukan di negara ini dibelenggu oleh gejala rasuah.
“Sebagai badan penaung 57 Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA), MOM amat kecewa dengan kenyataan Adam Adli yang tidak mempunyai justifikasi dan tidak disokong oleh sebarang bukti.