Gelandangan tak puas hati ramai bagi makanan dah basi, bagi daging babi pun ada

Gelandangan tak puas hati ramai bagi makanan dah basi, bagi daging babi pun ada

 

Beberapa kawasan di sekitar George Town, Pulau Pinang dikenalpasti antara kawasan yang menjadi tumpuan gelandangan berteduh, dan tumpuan penyumbang untuk memberi makanan.

Namun, beberapa gelandangan di sekitar itu mendakwa mereka sering diberikan makanan yang hampir basi, termasuk cubaan memberi daging khinzir, lapor Kosmo!.

Mereka meluahkan ketidakpuasan hati, meminta penyumbang individu mahupun berkumpulan berhenti memberi lauk yang haram dimakan oleh orang Islam dan makanan yang sudah basi.

“Kami kerap menerima makanan yang hampir basi terma­suk makanan berasaskan daging khinzir sedangkan kami orang Islam.

“Malah, ada yang datang agih minuman susu kotak yang sudah enam bulan tamat tempoh,” kata salah seorang gelandangan yang sudah dua tahun tinggal di kawasan kaki lima di Komtar, seperti dilapor Kosmo!.

Kebanyakan daripada gelandangan di negeri itu menjadikan kawasan sekitar kaki lima di Jalan Penang, stesen bas Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) dan Jalan Masjid Kapitan Keling sebagai tempat berteduh.

Menurut gelandangan yang juga seorang pekerja pencuci pinggan, kawasan kaki lima di Komtar sememangnya ‘mewah’ dengan makanan terutama selepas jam 12 malam, kerana ada sahaja orang yang datang memberi makanan.

Sementara itu, seorang lagi gelandangan yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 49, mendakwa, mereka pernah menerima makanan import berasaskan mi yang hampir tamat tempoh.

“Cukup-cukuplah beri kami makanan hampir basi dan sudah tamat tempoh. Kami juga manusia.

“Bukan setakat itu, ada yang datang beri pakaian lama dan sudah koyak. Hati kami sudah terluka dengan masalah keluarga, ini ditambah pula dengan perkara-perkara sebegini,” tambahnya.