Gemar buruk sangka terhadap kaum Cina, tokoh kewangan ini kongsikan DUA jasa besar kaum tersebut kepada kaum Melayu

Gemar buruk sangka terhadap kaum Cina, tokoh kewangan ini kongsikan DUA jasa besar kaum tersebut kepada kaum Melayu

Pakar kewangan tanah air, Datuk Nik Hasyudeen hari ini tampil membuat kejutan berkongsikan kisah sumbangan besar bangsa Cina terhadap pembangunan  institusi keramat bangsa Melayu sewaktu awal kewujudannya dahulu.

Menurut bekas CEO Tabung Haji itu, dua institusi yang dimaksudkanny ialah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan juga Tabung Haji.

Perkongsian yang dimuat naik beliau melalui laman FB miliknya hari ini tenyata mengejutkan ramai pengunjung yang rata-ratanya mengakui baru sahaja mengetahui kisah berkenaan.

Tindakan kita hari ini mungkin mempunyai kesan yang berpanjangan

Semalam saya ada sesi bersembang dengan pegawai-pegawai dari sebuah agensi kerajaan yang terlibat dengan pendidikan. Satu perkara yang saya sebut ialah polisi yang kita bentuk hari ini mungkin memakan masa sebelum kesannya mula nampak. Mungkin selepas bersara atau pun meninggal dunia, kesannya masih berterusan. Jadi, kena cermat di dalam menjalankan kerja masing-masing.

Saya bawakan 2 contoh.

Projek MRSM yang pada awalnya ditolak

Projek MRSM ini dipromosikan oleh Wahab Alwi, seorang pegawai muda MARA. Menurut beliau, cadangan projek MRSM yang dibuat di dalam tahun 1970 ditolak oleh jawatankuasa antara agensi di dalam masa 10 minit sahaja kerana dikatakan bahawa itu bukannya kerja MARA.

Wahab Alwi tidak mengalah dan berjumpa dengan Thong Yaw Hong yang merupakan Ketua Pengarah Unit Perancangan Ekonomi di ketika itu. Thong telah membawa cadangan ini kepada Tun Razak dan ianya diluluskan di dalam masa sehari. Hasil dari usaha Thong ini, ribuan anak-anak Bumiputera telah diberikan pendidikan dan ramai yang berjaya dengan cemerlangnya.

Permulaan operasi Tabung Haji

Perbadanan Wang Simpanan Bakal-Bakal Haji Malaya (PWSBH) telah ditubuhkan di dalam tahun 1963 oleh Tan Sri Hanafiah Husin berdasarkan konsep yang dikemukakan oleh Ungku Aziz. PWSBH menjadi institusi yang mana bakal-bakal haji menabung sebelum sampai giliran mereka untuk menunaikan haji. Simpanan mereka digunakan untuk membayar kos haji yang diuruskan oleh sheikh-sheikh haji di Pulau Pinang dan juga Singapura. Tak ada subsidi haji di ketika ini. Orang yang mendakwa subsidi haji adalah idea Ungku Aziz kena bawa bukti lah 🤗.

Oleh kerana penggumpulan deposit perlu direkodkan dengan tepat, Tan Sri Hanafiah perlu membentuk satu sistem lejar yang berkesan. Di ketika itu, sistem yang sama digunakan oleh Pejabat Pos. Oleh kerana itu, seorang pesara pejabat pos berbangsa Cina telah diambil sebagai pegawai PWSBH untuk membentuk sistem yang sama di situ. Ini membantu PWSBH untuk beroperasi sebagai sebuah institusi penabungan bagi tujuan untuk mengerjakan haji.

Pada tahun 1969 barulah PWSBH ditukar kepada Lembaga Urusan dan Tabung Haji yang mana operasi penabungan dan haji diletakkan di bawah satu institusi. Di dalam tahun 1995, institusi ini dinamakan Lembaga Tabung Haji seperti yang ada sekarang.

Orang-orang yang saya sebutkan di sini mungkin kita tidak kenal tetapi sumbangan mereka masih lagi kita rasai sehingga sekarang. Ini seharusnya menjadikan kita bersemangat untuk menyumbang kepada kemakmuran negara di dalam apa sahaja bentuk dan bidang. Mana tahu usaha kecil kita akan membawa manfaat yang berpanjangan dan dikira sebagai amal soleh oleh Allah SWT.