Gempa bumi Turkiye, Malaysia hantar 75 anggota SMART bantu operasi SAR

Gempa bumi Turkiye, Malaysia hantar 75 anggota SMART bantu operasi SAR

Seramai 75 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) digerakkan ke Turkiye bagi membantu usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di selatan negara itu, malam ini.

Memetik Harian Metro, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, proses penghantaran mendapat persetujuan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menerima pengesahan keperluan bantuan daripada Kerajaan Turkiye.

Katanya, pasukan akan berlepas ke Turkiye menerusi penerbangan Turkish Alirlines dengan membawa bersama peralatan yang akan digunakan di dalam operasi SAR.

“Pasukan SMART menerima pengiktirafan Kumpulan Penasihat Mencari dan Menyelamat Antarabangsa (INSARAG) pada 2016 yang membolehkan pasukan ini dihantar untuk menyertai misi bencana di luar negara,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Media hari ini melaporkan, pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (Afad) Turkiye memaklumkan satu gempa bumi besar berlaku pada 4.17 pagi (waktu tempatan) berpusat di daerah Pazarcik.

Gegaran gempa berlaku pada kedalaman tujuh kilometer turut dirasai di wilayah lain termasuk Diyarbakir dan Gaziantep serta negara jiran termasuk Lubnan dan Syria.

Gempa bumi itu mengorbankan lebih 200 orang dan mencederakan lebih 600 yang lain di Syria dan jumlah mangsa meningkat kepada 237 terbunuh dan 639 cedera.