Gempar!!! ‘Abang Besar’ hadiahkan 16 pesawat tentera simbolik ulang tahun ke-47 hubungan diplomatik kedua-dua negara

Gempar!!! ‘Abang Besar’ hadiahkan 16 pesawat tentera simbolik ulang tahun ke-47 hubungan diplomatik kedua-dua negara

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesan penerbangan mencurigakan 16 pesawat Tentera Udara Republik Rakyat China (PLAAF) menghampiri ruang udara negara pada 31 Mei lalu.

Penerbangan pesawat PLAAF itu dikesan oleh Radar Pertahanan Udara TUDM dari Pusat Pertahanan Udara (CRC 2) di Sarawak pada 11.53 pagi.

TUDM berkata, pesawat terbabit dikesan terbang secara formasi taktikal “in-trail” pada jarak 60 batu nautika antara satu sama lain.

“Insiden ini merupakan perkara yang serius terhadap ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan berdasarkan kepadatan trafik udara dalam laluan penerbangan di dalam Wilayah Maklumat Penerbangan Kota Kinabalu (KK FIR),” menurut TUDM.

“Pesawat terbabit dikesan terbang pada ketinggian antara 23,000 kaki sehingga 27,000 kaki dengan kelajuan 290 knots melalui Singapura sebelum memasuki Zon Maritim Malaysia (ZMM),” kata kenyataan itu.

Menurut TUDM, apabila arahan tidak dipatuhi dan didapati melangkaui persempadanan menghala ke ruang udara negara, TUDM melancarkan pesawat Hawk 208 daripada No 6 Skuadron, Pangkalan Udara Labuan untuk memintas pesawat asing tersebut.

“Pesawat China itu kemudian berpatah balik ke arah yang sama ketika ia mula memasuki ZMM,” kata TUDM.

TUDM berkata, pesawat terbabit dikenal pasti sebagai pesawat pengangkut strategik daripada jenis Ilyushin Il-76 dan pesawat Xian Y-20 yang berupaya melaksanakan pelbagai misi.

“Insiden ini dikendalikan oleh TUDM khasnya dan ATM amnya, berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa International Civil Aviation Organization (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN).

“Kementerian Luar sudah dimaklumkan mengenai kejadian ini,” tambah kenyataan itu.

Sebelum ini,  kapal pengawal pantai dan Tentera Laut China dilaporkan menceroboh perairan Malaysia sebanyak 89 kali antara 2016 hingga 2019.

Pencerobohan melibatkan kepulauan tertentu di Laut China Selatan yang dituntut beberapa negara, termasuk China dan Malaysia.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/01/16-pesawat-tentera-udara-china-dikesan-masuki-ruang-udara-malaysia/