Gempar! Annuar dedah ada pemimpin Umno mahu berbaik dengan Dap

Gempar! Annuar dedah ada pemimpin Umno mahu berbaik dengan Dap

Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa hari ini mengesahkan ada segelintir pemimpin UMNO pernah mengadakan rundingan dengan DAP untuk mengadakan pakatan politik.

Ia, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional itu tidak salah namun ia tidak pernah direstui oleh ketetapan dalam parti.

“Pucuk pimpinan tidak pernah memutuskan untuk berunding dengan DAP, ini dapat berita ada orang (dalam UMNO) cuba-cuba berunding dengan DAP. Tak salah tapi jangan buat diam-diam.

“Bak kata pepatah, tiada dusta antara kita,” ujarnya semasa berucap secara langsung ketika merasmikan Mesyuarat Agung UMNO Ketereh di Kelantan hari ini.

Namun bagi peribadinya, Annuar berkata, tidak perlu ada sebarang rundingan dengan DAP dan ia ketetapan yang dipersetujui peringkat pucuk pimpinan UMNO selain tidak bekerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kalau rasa DAP lebih baik dari Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) silakan tapi jika rakyat ditolak (PRU-15) siapa yang mahu ambil tanggungjawab?” soalnya.

Sedangkan semasa mula kejatuhan UMNO semasa PRU-14 tiada pemimpin parti itu mengambil tanggungjawab, katanya.

“Ada kata kerjasama dengan DAP ada suara akar umbi. Akar umbi mana yang mahu berbaik dengan DAP?” soalnya lagi.

Malah ada kata ia mewakili suara ketua bahagian parti namun Annuar berkata, ketua bahagian adalah pucuk pimpinan bukan suara akar umbi.

“Suara ketua bahagian? Anuar Musa ketua bahagian di Ketereh, Najib ketua bahagian di Pekan dan Zahid ketua bahagian di Bagain Datuk dan ini bukan suara akar umbi,” katanya sambil memberi contoh.

Annuar yang juga Menteri Pembangunan Wilayah juga menjawab dakwaan dan gerakan yang mahu menjatuhkannya dalam parti.

“Ada kata saya ini Setiausaha Agung Bersatu, ada yang mahu saya dipecat. Mereka kena ingat saya ahli parti nombor 124 yang bersama-sama menghidupkan UMNO selepas ia diharamkan,” katanya.

Beliau juga menegaskan diri tidak taksub dengan individu dalam kepimpinan dan membuktikan beliau pernah meninggalkan Ku Li dan tidak bersama Tun Mahathir Mohamad.

“Rekod ahli saya 124, ahli seumur hidup sejak tahun 1978 sampai sekarang. Berkali-kali menang dan kalah, jadi menteri dan tidak, pernah ada pangkat atau tidak saya tetap mendokong perjuangan UMNO.

“Saya tidak terhegeh-hegeh mahu jawatan, saya bukan berebut-rebut malah saya bersyukur Allah beri lebih daripada selayak kepada saya,” katanya.

“Menteri sudah, ketua bahagian sudah, menteri bandar sudah, menteri luar bandar sudah, menang sudah kalah pun sudah.

“Apa lagi Annuar Musa mahu? Jangan cabar kecintaan dan kesetiaan saya kepada parti,” katanya.

Sumber: https://malaysiagazette.com/2021/01/02/kalau-mahu-kerjasama-dengan-dap-jangan-buat-diam-diam-annuar/?fbclid=IwAR1GaKKO0Dz5SuINlLwswS5Q44jYJX-VJFhgQBbvQBO0guT9f8x5etzMBOU