Gempar!! Azmin tempelak Anwar tidak serius

Gempar!! Azmin tempelak Anwar tidak serius

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Mohamed Azmin Ali menegaskan belanjawan bukan satu perkara “seronok-seronok” seperti ditafsirkan oleh Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, kata ahli parlimen Gombak itu ia merupakan satu isu serius yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

“Ini bukan soal seronok-seronok. Masalahnya ini permainan politik pembangkang.

“Bagi kita ini satu perkara yang serius. Yang ambil sikap politik ialah Pakatan Harapan (PH) khususnya ketua pembangkang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di Hotel Premiera, Kuala Lumpur, petang tadi.

Terdahulu, bekas timbalan presiden PKR itu diminta mengulas kenyataan Anwar yang mengingatkan kerajaan supaya tidak terlalu seronok selepas Belanjawan 2021 diterima majoriti ahli Dewan Rakyat menerusi undi suara semalam.

Kata Azmin dia yakin ahli-ahli parlimen faham betapa pentingnya Belanjawan 2021 kerana ia merupakan belanjawan untuk rakyat

“Fokus pertama kita ialah untuk menangani masalah penularan Covid-19. Kedua, memulihkan dan mencergaskan ekonomi. Ini satu belanjawan yang terbesar dan kita telah menerima pandangan daripada semua pihak.

“Ini kali pertama kerajaan berkongsi pembentangan belanjawan dengan pembangkang sebelum dibentangkan. PH tak pernah mengambil sikap yang terbuka seperti ini,” katanya.

Semalam sesi pengundian Belanjawan 2021 yang dijangka akan menjadi genting serta membuka ruang kerajaan Perikatan Nasional digugat tidak menjadi kenyataan apabila ia diluluskan dengan majoriti ahli parlimen menyokongnya.

Ia dibuat melalui undian suara. Cubaan sesetengah ahli parlimen pembangkang meminta agar undi belah bahagi – sekali gus membolehkan belanjawan itu diuji dengan lebih terperinci – gagal selepas gagal mendapat sokongan sekurang-kurangnya 15 wakil.

Ia berlaku selepas Presiden PKR, Anwar Ibrahim, selaku pengerusi Pakatan Harapan (PH) tidak bersetuju belanjawan tersebut diundi secara belah bahagi.

Anwar kemudian berkata bahawa pihaknya akan meminta undi belah bahagi diadakan semasa peringkat jawatankuasa ketika anggota parlimen membahaskan perbelanjaan setiap kementerian.

Azmin berkata semua menteri telah diminta untuk memberi penjelasan mengenai belanjawan masing-masing semasa ia dibentangkan di peringkat jawatankuasa parlimen.

“Seperti kita buat sebelum ini, semua menteri akan diminta berusaha sedaya upaya untuk menjawab semua isu yang dibangkitkan oleh ahli parlimen.

“Kami (menteri) ingin berada di sana untuk memastikan bahawa ahli parlimen mendapat maklumat yang mencukupi mengenai belanjawan,” katanya.

Sumber: Malaysiakini