Gempar!!! Bakal berlaku Pilihanraya Kecil sekiranya terbukti MP Segamat punyai 2 kerakyatan

Gempar!!! Bakal berlaku Pilihanraya Kecil sekiranya terbukti MP Segamat punyai 2 kerakyatan

BENARKAH TIMBALAN MENTERI WP BERCUTI KE NEW ZEALAND KERANA INGIN MEMENUHI SYARAT TARAF PENDUDUK TETAP YANG DIMILIKINYA?

Isu cuti selama 55 hari ke New Zealand yang diluluskan Perdana Menteri kepada Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Edmund Santhara Kumar bukan saja meletakkan kerajaan PN dalam pertikaian serta kecaman yang semakin meluas, malah ada yang sampai menyumpah seranah.

Bagi majoriti rakyat, selain Santhara Kumar turut bersalah kerana memohon cuti begitu lama di tengah-tengah wabak Covid19 sedang melanda, bahkan turut berlaku banjir di Segamat, kawasan Parlimen yang diwakilinya, yang lebih salah lagi dalam hal ini ialah Muhyiddin Yassin atas kelulusan yang diberikannya.

Muhyiddin dianggap sebagai ketua kerajaan yang tidak bertanggungjawab dan mengamalkan dasar dwi standard dengan kelulusan cuti begitu lama yang diberikannya kepada Ahli Parlimen Segamat itu.

Ini kerana sementara rakyat biasa tidak dibenarkan merentas daerah dan negeri, seorang timbalan menteri dan wakil rakyat senang-senang diberikan kebenaran merentas negara sambil bercuti selama hampir dua bulan lamanya.

Di mana hati perut Muhyiddin sebagai Perdana Menteri yang kononnya mengutamakan rakyat dalam hal ini?

Tidak rasa malukah Muhyiddin meluluskan cuti begitu lama kepada seorang timbalan menteri lantikannya sendiri yang bermakna dalam tempoh 55 hari itu, Santhara Kumar terpisah dengan rakyat dan tugas di kementeriannya?

Setelah sarat dengan pelbagai isu kelemahan dan kegagalan sebelum ini, Muhyiddin dan kerajaan PN nyata kini berdepan satu bebanan yang tidak dapat dielak lagi.

Selain pelbagai pelanggaran SOP melibatkan orang kayangan yang tidak diambil tindakan, golongan tersebut nampaknya terus menikmati keistimewaan yang melampau, sedangkan rakyat dihimpit dengan pelbagai tekanan untuk bergerak ke mana-mana.

Dalam penjelasannya semalam, Santhara Kumar berkata, beliau memohon cuti selama 55 hari bekerja melalui Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa dan mendapat kelulusan Perdana Menteri pada 3 Disember lalu.

“Tujuan saya keluar negara adalah bagi melawat anak-anak saya di New Zealand, khususnya anak saya yang sedang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang.

“Selain itu, sebagai bapa yang bertanggungjawab, saya perlu bertemu dengan anak yang berusia sembilan tahun bagi menjalankan tanggungjawab sebagai bapa sepanjang cuti rehat tersebut setelah hampir setahun tidak berjumpa.

“Di samping itu, saya juga perlu melawat isteri yang mengalami masalah kesihatan.

“Sebagai tambahan, upacara anak saya yang berumur sembilan tahun untuk menerima holy communion juga tidak dapat saya hadiri kerana sentiasa sibuk dengan tugas sebagai Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Ahli Parlimen Segamat,” katanya lagi.

Bagaimanapun, maklumat lain yang singgah ke laman ini memaklumkan pemergian Santhara Kumar ke New Zealand dikatakan bukanlah kerana bercuti, melawat isteri dan anak-anak atau sebagai tanda yang memperlihatkan beliau seorang bapa yang bertanggungjawab.

Maklumat itu memberitahu, beliau sebenarnya dikatakan mempunyai taraf penduduk tetap atau PR New Zealand.

Syarat seseorang yang memiliki taraf penduduk tetap New Zealand pula difahamkan mesti tinggal di negara tersebut sekurang-kurangnya 50 hari dalam setahun.

Dengan itu dikatakan pemergiannya ke New Zealand bukanlah untuk melawat isteri dan anak-anak, tetapi sebagai memenuhi syarat wajib taraf penduduk tetap yang dimilikinya.

Maka, benarkah Santhara Kumar memiliki taraf PR New Zealand?

Jika benar Santhara Kumar memiliki taraf PR New Zealand dan dalam masa yang sama beliau juga adalah Ahli Parlimen serta Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, tidakkah ini boleh menimbulkan persoalan dan percanggahan? (Shahbudindotcom 02/03/2021).