Gempar!!! Benarkah intubasi dan ditidurkan dianggap proses bagi mematikan pesakit?

Gempar!!! Benarkah intubasi dan ditidurkan dianggap proses bagi mematikan pesakit?

INTUBASI DAN DITIDURKAN?

Dalam 1-2 minggu ini, ada pesakit-pesakit COVID-19 dan juga ahli keluarga mereka yang minta supaya jangan dimasukkan tiub pernafasan dan ditidurkan.

Rupanya, dalam media sosial dan whatsapp sedang berlegar-legar cerita kononnya bila dimasukkan tiub pernafasan dan ditidurkan, itu adalah proses mematikan secara tak sedar!

Celakalah kepada sesiapa yang memulakan dan menyebarkan maklumat seperti ini!

Prosedur masukkan tiub pernafasan (intubasi) dan ditidurkan (sedasi) adalah rawatan biasa yang telah dipraktikkan sejak berpuluh tahun dulu. Bukan baru mula masa COVID-19.

Cuba korang bayangkan, bila kau tak cukup oksigen, badan kau akan bernafas dengan laju untuk dapatkan oksigen. Dalam keadaan paru-paru yang teruk sebab COVID-19, oksigen tak dapat masuk dalam badan dengan baik.

Maka, badan kau akan berterusan bernafas dengan laju. Bernafas perlukan otot dan tenaga. Sama macam otot badan yang lain. Bayangkan kalau seharian kau guna otot tangan untuk angkat berat, lama-lama mesti tak tahan. Pengsan.

Sama lah macam otot pernafasan. Kalau dah terlalu lama bernafas laju, lama-lama badan kau akan penat dan akhirnya collapse.

Sebab itu, di hospital, kalau pesakit yang tercungap-cungap, doktor akan masukkan tiub pernafasan dan tidurkan, supaya mesin pernafasan boleh ambil alih pernafasan pesakit, dan badan pesakit dapat direhatkan, sambil rawatan untuk elokkan paru-paru dibuat.

Apa diorang ingat doktor saja-saja nak intubate dan sedate pesakit sebab kami telah dipergunakan oleh tangan-tangan ghaib Freemason secara tak sedar?

Prosedur ini untuk selamatkan nyawa. Ada ramai pesakit kritikal yang dapat diselamatkan dengan prosedur ini.

Kalau nak ikutkan, petugas kesihatan lagi senang kalau tak buat benda-benda intubasi ini. Sebab, bila nak intubasi, kami terdedah dengan virus COVID-19 secara direct dan risiko untuk dapat jangkitan lebih tinggi. Kemudian kena sediakan banyak peralatan, kena ada mesin pernafasan, tambah keperluan, tambah kos, tambah kerja.

Lepas diintubasi dan ditidurkan pula, kena ada jururawat yang menjaga rapi seorang pesakit. Perlukan lebih banyak manpower sebab banyak kerja nak kena buat. Kena sedut kahak selalu, kena pusingkan pesakit, kena physio, kena cuci najis. Macam-macam.

Tapi, untuk selamatkan nyawa, kena dibuat juga. Ini amanah.

Ini saja aku nak kongsi. Sebagai doktor yang memang bertugas di ICU/Dewan Bedah dan biasa intubate pesakit, aku rasa perlu untuk betulkan kefahaman orang ramai tentang isu ini.

Takut nanti, bila ramai sangat orang yang salah faham dan menolak untuk intubasi, akan ada konflik dalam rawatan.

Korang yang senang sangat percaya dengan mesej-mesej liar ni pun satu hal. Kalau korang nak percaya dengan kawan yang sebar, cuba tanya dulu kawan tu, subjek Biologi sekolah menengah dulu dapat gred apa. Kalau subjek Biologi pun tak ambil, baik korang percaya cakap doktor.