Gempar!!! Benarkah ‘orang dalam’ salur maklumat pergerakan JAIS kepada Sajat?
Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yakin perintah Mahkamah Syariah untuk menahan dan membawa usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau Nur Sajat ke mahkamah akan dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
Ia berikutan, pihak polis sudah berjaya mengenal pasti tempat persembunyian Nur Sajat yang menghilangkan diri sejak Februari lalu.
Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya yakin dengan kewibawaan dan bidang kuasa polis dalam mengesan usahawan itu.
“Apabila polis dapat mengesan kedudukan Nur Sajat, ini bermakna perintah Mahkamah Syariah untuk polis menangkapnya dan membawanya ke Mahkamah Syariah akan dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Kami sangat yakin kewibawaan dan bidang kuasa yang luas pihak polis dalam melaksanakan waran yang dikeluarkan ini seterusnya membantu JAIS dan mahkamah dalam kes membabitkan usahawan kosmetik itu,” katanya tadi.
Beliau berkata, pihaknya juga akan meneruskan kerjasama dengan polis sehingga Nur Sajat ditangkap.
Terdahulu, media melaporkan bahawa polis sudah mengenal pasti lokasi persembunyian Nur Sajat yang dikenakan waran tangkap kerana tidak hadir sebutan semula kes di mahkamah berhubung isu menghina Islam.
Pemangku Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed, berkata usaha untuk mengesan Nur Sajat sedang giat dilakukan dengan JAIS.
“Setakat ini, kita belum tahan lagi usahawan kosmetik itu. Polis akan bekerjasama dengan JAIS dalam hal ini,” katanya.
Pada 23 Februari lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam mengeluarkan waran tangkap terhadap Muhammad Sajjad kerana gagal menghadirkan diri pada sebutan semula kesnya tanpa sebarang sebab.
Nur Sajat dipercayai bersembunyi sebaik waran tangkap dikeluarkan mahkamah. – HM