Gempar!!! Biarpun dipadam, kenyataan singkat Istana Negara perjelas maksud ‘dibuka segera’
Pagi tadi, Istana Negara memuat naik satu hantaran poster di media sosial, memetik semula kenyataan pada Rabu (16 Jun) bahawa Agong berpandangan bahawa parlimen perlu bersidang secepat mungkin.
Selain satu dua perkataan, tidak ada perubahan pada kenyataan tersebut seperti yang dimuat naik sebelum ini. Cuma kali ini, petikan “parlimen perlu diadakan secepat mungkin” ditulis dengan format tebal.
“Setelah memperhalusi semua pandangan para pemimpin parti politik, Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 dan sembah taklimat para pakar dari agensi-agensi kerajaan maka Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan parlimen perlu diadakan secepat mungkin.
“Ini untuk membolehkan ordinan-ordinan darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat,” tulis hantaran berkenaan yang turut memaparkan gambar Sultan Abdullah bersama petikan berkenaan.
Bagaimanapun, setelah meraih ribuan reaksi, komen dan perkongsian oleh warga maya hanya kurang sejam dimuat naik, hantaran itu didapati telah dipadam tidak lama kemudian.
Bekas perdana menteri, Najib Razak sempat mengulas hantaran poster Istana Negara itu, dan menyifatkan ibarat “isyarat” daripada istana, bahawa “secepat mungkin” tidaklah membawa maksud tiga atau empat bulan lagi.
“Entahlah sekiranya mereka masih tak faham atau sengaja buat-buat tak faham,” katanya.
Hantaran itu juga dipadam Najib tidak lama kemudian.
Sumber : Malaysiakini