Gempar!! Bocor perbualan di whatsapp Takiyuddin-Zafrul

Gempar!! Bocor perbualan di whatsapp Takiyuddin-Zafrul

Perbualan bocor antara Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang), Takiyuddin Hassan dengan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mengenai sebuah projek melalui rundingan terus di Kedah dipetik di luar konteks, kata setiausaha politik Takiyuddin, Wan Rohimi Wan Daud.

Perbualan di Whatsapp yang dibocorkan di media sosial itu mendedahkan Takiyuddin memohon pendapat Zafrul mengenai projek loji rawatan air Plubang di Kedah.

Takiyuddin menyatakan kepada Zafrul bahawa pemilik projek, Bina Darulaman Berhad (BDB) yang dimiliki oleh kerajaan negeri Kedah, sudah pun mempunyai rakan usaha sama.

Ini susulan tindakan Taliwork Corporation, yang menguruskan bekalan air Langkawi selama 25 tahun tetapi konsesinya bakal berakhir tidak lama lagi, memohon kerajaan persekutuan untuk menjadi rakan usaha sama dengan BDB.

Walaupun projek loji rawatan air Plubang adalah projek kerajaan Kedah, namun kerajaan persekutuan masih mempunyai suara kerana ia dibiayai melalui pinjaman persekutuan.

Brother (Saudara), BDB dah ada partner (rakan) untuk projek ini, jadi apa pendapat kamu,” soal Takiyuddin kepada Zafrul dalam perbualan yang bocor itu.

Zafrul kemudian menjawab bahawa adalah lebih baik bagi BDB untuk berjumpa dengan pemegang saham syarikat Taliwork, Lim Chee Meng terlebih dahulu.

“Dan kemudian, saya akan memberi taklimat kepada perdana menteri. Kerana (negeri) memerlukan rakan teknikal,” katanya.

Lim dikaitkan dengan anak lelaki Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, Fakhri Yassin Mahiaddin melalui Thriven Global Bhd.

Tahun lalu, adalah dilaporkan bahawa Lim muncul sebagai pemegang saham ketiga terbesar di Thriven Global Bhd dengan Fakhri sebagai pemegang saham terbesar syarikat berkenaan.

Ibu Zafrul, Zaharaton Raja Zainal Abidin juga menganggotai lembagai pengarah Taliwork.

 

Walau bagaimanapun, menurut Takiyuddin, Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor sudah pun mencadangkan projek air berasingan di Langkawi dengan Taliwork yang bernilai RM550 juta.

Untuk itu, Zafrul menjawab “Oh OK” tetapi menambah:

“Tetapi untuk rundingan terus, kami juga perlu memastikan bahawa rakan kongsi / usaha sama untuk syarikat negeri itu kukuh dari segi teknikal dan kewangan.”

Rakan usaha sama yang menjadi pilihan kerajaan negeri Kedah pimpinan PAS berhubung Taliwork tidak dinyatakan dalam perbualan itu.

Perbualan itu mencetuskan kritikan terhadap Takiyuddin dengan bekas peguam PAS, Zulhazmi Shariff menyoal sama ada Takiyuddin bertindak sebagai ejen untuk membiayai projek rundingan terus bagi pihak menteri besar Kedah.

Takiyuddin adalah menteri penyelaras

Bagaimanapun, setiausaha politik Takiyuddin berkata, dakwaan itu tidak benar dan menteri berkenaan hanya menjalankan tugasnya.

“Cetakan perbualan melalui applikasi WhatsApp tersebut sengaja dipetik di luar konteks dan ditularkan dengan niat yang curang untuk membina persepsi negatif dan mencemarkan nama baik pihak-pihak berkaitan,” kata Wan Rohimi dalam satu kenyataan.

Wan Rohimi berkata, Takiyuddin dilantik sebagai menteri penyelaras antara kerajaan persekutuan dengan Putrajaya berkuat kuasa 1 September lalu.

Selaras itu, Wan Rohimi berkata, menjadi tugas Takiyuddin untuk menjadi pemudah cara terhadap isu-isu berbangkit sama ada program atau projek pembangunan antara kementerian/jabatan/agensi kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Kedah.

Katanya, Takiyuddin juga ditugaskan untuk menjadi pemudah cara kepada urusan penyaluran bantuan kebajikan kepada rakyat negeri Kedah daripada kerajaan persekutuan.

“Sehubungan itu, suka saya nyatakan bahawa cetakan perbualan (perbincangan) melalui aplikasi WhatsApp tersebut adalah sebahagian daripada bidang tugas dan tanggungjawab Takiyuddin atas kapasiti beliau selaku menteri penyelaras antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Kedah, untuk memberi tumpuan khas sebagai pemudah cara khususnya dalam hal pembangunan yang melibatkan kementerian/jabatan/agensi persekutuan dan kerajaan negeri Kedah,” katanya.

Wan Rohimi juga melampirkan kenyataan menteri besar Kedah bertarikh semalam yang menjelaskan projek-projek yang dibincangkan dalam perbualan yang dibocorkan itu.

‘Kedah tidak minta bantuan Takiyuddin’

Sanusi berkata berdasarkan amalan lalu, kerajaan negeri berhak untuk meluluskan kontraktor sendiri sekiranya projek tersebut adalah projek kerajaan negeri walaupun dibiayai melalui pinjaman persekutuan.

 

Katanya, kelulusan hanya diperlukan daripada kerajaan persekutuan jika ia dibiayai oleh geran persekutuan. Dan untuk empat loji rawatan air lain yang ditugaskan mengikut kaedah ini, semuanya akan dijalankan berdasarkan tender terbuka.

Walau bagaimanapun, Sanusi berkata, memandangkan dasar kerajaan pusat tentang kaedah perolehan projek telah berubah, kerajaan negeri terpaksa mendapat kelulusan kementerian kewangan juga walaupun ia adalah projek dibiayai secara pinjaman dan bukannya geran.

Dalam konteks ini, katanya, beberapa surat dan dokumen berkaitan telah dihantar oleh kerajaan negeri untuk semakan dan kelulusan menteri kewangan.

“Memandangkan masa semakin suntuk untuk loji rawatan air Plubang disegerakan bagi menjamin bekalan air ke beberapa daerah tidak mengalami krisis, maka saya memohon bantuan menteri penyelaras Kedah-Persekutuan (Takiyuddin) untuk memeriksa status permohonan Kedah itu dengan menteri kewangan,” katanya.

Menurut Sanusi, kementerian kewangan memaklumkan kepada Takiyuddin bahawa Taliwork telah memohon untuk menjadi rakan usaha sama dengan BDB.

“Oleh kerana BDB telah selesai melantik kontraktor dan rakan usaha sama bagi projek LRA Plubang sejak bulan Ogos lagi, malah telah melaksanakan majlis pecah tanah bagi projek itu, maka kerajaan negeri mencadangkan Taliwork boleh dipertimbangkan untuk bekerjasama dalam projek akan datang, antaranya projek LRA ke Langkawi yang telah diumumkan oleh kerajaan persekutuan beberapa tahun lalu.

“Bagaimanapun, ia tetap tertakluk kepada kaedah dan proses perolehan kerajaan yang ditentukan oleh Persekutuan (tander terbuka atau rundingan terus dengan GLC),” katanya.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/555291