Gempar!!! Bukan Islam dibenarkan sertai program ‘walk-in’ vaksin kelolaan Baitulmal MAIWP

Gempar!!! Bukan Islam dibenarkan sertai program ‘walk-in’  vaksin kelolaan Baitulmal MAIWP

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad menegaskan tidak timbul isu orang bukan Islam dipinggirkan dalam pemberian vaksin bawah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Beliau berkata, selain keutamaan kepada golongan asnaf dan penerima bantuan Baitulmal MAIWP, program bermula pada 4 Ogos lalu itu juga terbuka kepada bukan Islam di empat lokasi sekitar ibu negara yang sudah ditetapkan.

“Tidak ada bukan Muslim yang dinafikan hak untuk mendapat vaksinasi sebelah pagi, MAIWP fokus proses vaksinasi kepada Muslim yang telah mendaftar dengan MySejahtera melalui MAIWP manakala sebelah petang, ia dibuka juga untuk awam.

“Alhamdulillah, ramai bukan Muslim mendapat manfaat daripada usaha ini,” katanya dalam ciapan di Twitter yang turut berkongsi beberapa keping gambar suasana di sekitar PPV seliaan MAIWP.

Zulkifli membalas satu ciapan dibangkitkan aktor terkenal Harith Iskander yang mempersoalkan mengapa penduduk beragama Islam sahaja dipelawa untuk menerima vaksin berkenaan.

Terdahulu, MAIWP dalam satu ciapan memaklumkan penduduk beragama Islam di Setiawangsa dan Wangsa Maju dipelawa untuk hadir ke Dewan Serbaguna Air Panas Setiawangsa untuk mendapatkan vaksinasi percuma. Bagaimanapun, notis itu dipadam tidak lama kemudian.

Ciapan itu kemudian mendapat pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat dengan kebanyakan mereka menyifatkan tindakan itu sebagai diskriminasi kepada agama lain.

Zulkifli kemudian menjelaskan ciapan itu hanya untuk menguarkan-uarkan kepada penerima dan pembayar zakat mengenai khidmat vaksinasi disediakan.

“Ini kerana pada hari-hari tertentu, bilangan Muslim yang mendaftar untuk vaksinasi masih tidak mencapai sasaran,” katanya.

Beliau turut menegaskan, MAIWP selaku badan yang menguruskan kutipan, agihan zakat dalam kalangan Muslim di Wilayah Persekutuan, sudah pasti akan mengembalikan manfaat kepada klien mereka iaitu orang Islam.

“Saya amat hargai jika kita dapat mempromosikan inisiatif MAIWP ini terutama untuk asnaf, OKU, warga emas di sekitar kawasan yang ditetapkan. Masih ada yang tidak mendaftar dengan MySejahtera, bahkan tidak tahu apa itu MySejahtera. Kadar vaksinasi perlu dipertingkatkan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap MAIWP ketika dihubungi FMT menjelaskan, program hasil kerjasama Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) itu menyasarkan pemberian 600 dos setiap hari dengan sasaran keseluruhan 7,500 dos.

Beliau berkata, vaksin itu dibekalkan sepenuhnya oleh kerajaan pusat bagaimanapun kos pembinaan dan perolehan petugas termasuk doktor dan sukarelawan ditanggung sepenuhnya oleh MAIWP.

“Program berkenaan tercetus selepas kita lihat ramai penerima bantuan MAIWP masih tidak menerima janji temu vaksin kerana majoriti mereka sudah uzur dan tinggal berjauhan dengan PPV yang ditetapkan,” katanya, sambil menambah pembukaan PPV di sekitar Lembah Klang untuk proses “walk in” tidak menjadi masalah kepada mereka yang tiada halangan dari segi kesihatan untuk ke sana.

“Setiap lokasi akan dibuka selama tiga hari dan akan ‘rotate’ untuk suntikan dos kedua pula,” katanya.

PPV bergerak bawah MAIWP itu beroperasi di empat lokasi di ibu kota yang juga berhampiran dengan kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) iaitu di Dewan Serbaguna Bandar Tun Razak, Dewan Serbaguna Air Panas Setiawangsa, Dewan Serbaguna Taman Maluri dan Pusat Komuniti Sri Petaling.

Program itu sudah bermula sejak 4 Ogos lalu dan akan berakhir 12 September ini.

Sumber – FMT