Gempar!!! Hampir seribu guru di Johor terpengaruh dengan dakyah kumpulan anti vaksin
Seramai 779 guru di Johor dilaporkan enggan menerima vaksin COVID-19.
Sehubungan itu, Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan memanggil kesemua warga pendidik itu bagi memberi penerangan dan kaunseling berhubung kebaikan pengambilan vaksin terbabit.
Menurut beliau, sehingga 19 Ogos lalu, seramai 45,448 atau 96.26 peratus guru di negeri itu sudah menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19.
Sementara, 23,746 guru lagi, kata Mazlan, sudah lengkap kedua-dua dos suntikan vaksin.
“JPN ambil inisiatif berhemah panggil dan kaunseling (guru-guru yang menolak vaksin)… sebahagiannya sudah dipanggil secara individu di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan libatkan bantuan Jabatan Agama untuk bantu beri penerangan dan kaunseling dan akhirnya mereka akan turut serta dalam (program) vaksinasi,” kata Mazlan.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan kadar vaksinasi dalam kalangan guru di negeri ini yang dikemukakan Nor Hayati Bachok (Amanah – Maharani) pada Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor yang ke-14 hari ini.
Mazlan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa berkata, suntikan vaksin bagi anggota kumpulan pelaksana seramai 6,539 atau 91.43 peratus sudah menerima dos pertama dan 2,816 sudah lengkap kedua-dua dos.
Bagi staf sokongan operasi pula seramai 9,236 atau 71.49 peratus, jelasnya, sudah menerima dos pertama dan 7,030 peratus lengkap kedua-dua dos suntikan vaksin.
Kata Mazlan, kerajaan negeri yakin program vaksinasi dapat dicapai 100 peratus menjelang pembukaan sesi persekolahan kelak.
Sumber – AstroAWANI