Gempar!! Hutang FELDA cecah RM10.7 billion

Gempar!! Hutang FELDA cecah RM10.7 billion

Dewan Rakyat diberitahu FELDA menanggung hutang keseluruhan mencecah RM10.7 bilion, dan sekarang tidak mampu membayar balik beberapa hutangnya sehingga terpaksa diberikan moratorium ke atas pembayaran balik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mustapa Mohamed melaporkan FELDA mula berhadap masalah kewangan sejak 2013 ekoran kerugian dan kemerosotan pendapatan sebelum cukai, hingga terpaksa membuat pinjaman bagi melancarkan operasi harian dan komitmen perkhidmatannya kepada peneroka.

“Pada September tahun ini, FELDA memaklumkan kerajaan ia tidak mampu membayar balik beberapa hutangnya dan mempunyai masalah kecairan sebanyak RM1.3 bilion,” katanya, ketika ditanya Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) tetang rancangan kerajaan memulihkan aliran tunai dan hutang korporat FELDA.

Menurut Mustapa, penyenaraian FGV Holdings Berhad di Bursa Malaysia pada 2012 juga menyumbang kepada hutang itu, kerana ia mengakibatkan FELDA kehilangan sumber pendapatan yang penting serta harga kelapa sawit yang kurang memberangsangkan.

“Di samping itu, hutang peneroka yang tinggi serta kadar kutipan hutang yang tidak memberangsangkan turut memburukkan lagi keadaan dan menjejaskan kedudukan kewangan FELDA,” katanya.

Mustapa berkata kerajaan bersetuju memberikan moratorium selama dua tahun kepada FELDA untuk salah satu hutangnya.

Menurutnya, sebuah institusi juga memberikan moratorium selama enam bulan kepada FELDA.

Selain itu, Jemaah Menteri pada 14 Okt meluluskan penerbitan sukuk yang dijamin oleh kerajaan – berjumlah RM9.9 bilion – yang mana RM6 bilion akan digunakan bagi mengurangkan beban hutang FELDA.

Bakinya, kata Mustapa, akan digunakan untuk meningkatkan pendapatan teras melalui pengambilalihan pegangan saham FGV serta melaksanakan penamatan perjanjian pajakan tanah.

Beliau menjangkakan proses pemulihan FELDA membawa hasil positif pada 2023.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/14/hutang-felda-cecah-rm10-7-bilion-diberi-moratorium-kata-menteri/?fbclid=IwAR3FlXtLEZC2Nw2kUEeAHANufeMPgdsEouziEywXd99JrkJMZofBTq6nBGQ