Gempar!!! Kerajaan Ismail sangat rapuh, dakwa MT UMNO

Gempar!!! Kerajaan Ismail sangat rapuh, dakwa MT UMNO

Majlis Tertinggi (MT) UMNO berpendapat pentadbiran kerajaan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sekarang ini adalah kerjasama politik longgar antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Sehubungan itu, Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata MT mendukung penuh pelantikan barisan Jemaah Menteri yang diumumkan Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO semalam bagi memastikan kelancaran perjalanan pentadbiran kerajaan.

Pada masa sama katanya MT juga bersetuju kerajaan terus menggunakan jenama ‘Keluarga Malaysia’ dan Kerajaan Malaysia selain tidak menggunakan jenama Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kerajaan terus menggunakan jenama ‘Keluarga Malaysia’ dan Kerajaan Malaysia serta tidak lagi menggunakan penjenamaan Kerajaan Perikatan Nasional memandangkan kerajaan ini merupakan kerjasama politik longgar antara Parti Barisan Nasional (UMNO, MCA, MIC dan PBRS), Parti Perikatan Nasional (PPBM, PAS dan STAR), GPS dan PBS,” katanya dalam kenyataan lewat malam tadi.

Katanya, beberapa panduan utama telah dibincangkan dan dipersetujui bersama Perdana Menteri, termasuk menyahut titah saranan Yang di-Pertuan Agong untuk mengadakan kerjasama dan permuafakatan rentas parti bagi bersama-sama menangani kemelut ekonomi, pandemik Covid-19 dan kesejahteraan rakyat.

“Kerajaan baharu ini hendaklah segera memfokuskan usaha untuk menangani pandemik Covid-19 dan proses vaksinasi agar mencapai imuniti kelompok yang mampu mengurangkan risiko kematian akibat serangan virus,” katanya.

Menurutnya kerajaan juga mesti melakukan penambahbaikan pakej bantuan rakyat seperti Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 (BKC), dan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) – program bantuan yang diperkenalkan Kerajaan PN di bawah Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Zahid berkata MT juga menggesa kerajaan mempertahankan peranan dan sistem demokrasi berparlimen sebagai wahana semak dan imbang, selain menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat pendedahan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengenai campur tangan politik dalam institusi Peguam Negara serta kehakiman dan keselamatan yang menjadi benteng mempertahankan keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang negara.

“UMNO mesti menjadi pelopor kepada usaha reformasi institusi dalam pelbagai cabang kerajaan. Ini termasuklah untuk mewujudkan Parlimen yang lebih efisien, pentadbiran telus dan bersih, pendanaan politik, Akta Anti Lompat Parti, campur tangan politik dalam pelbagai institusi yang menjadi benteng kedaulatan undang-undang seperti Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Polis DiRaja Malaysia dan lain-lain,” katanya.

Sumber – Agenda Daily