Gempar!!! Mahkamah benarkan rayuan bapa batal pengislaman anak

Gempar!!! Mahkamah benarkan rayuan bapa batal pengislaman anak

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan membenarkan seorang bapa beragama Buddha membatalkan pengislaman sepihak anak-anaknya oleh ibu mereka, iaitu bekas isterinya.

Menurut laporan FMT, hakim Mohamad Zabidin Diah berkata, Mahkamah Rayuan terikat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 2018 dalam kes guru tadika M Indira Gandhi.

“Kami berpandangan bahawa kami terikat dengan kes Indira Gandhi dan tidak ada kesilapan yang boleh dirayu. Rayuan ditolak,” katanya dalam satu keputusan ringkas.

Hakim-hakim lain yang bersidang bersama Zabidin adalah S Nantha Balan dan Nordin Hassan.

Mahkamah tertinggi itu sebelum ini memutuskan dalam kes Indira bahawa persetujuan kedua ibu bapa diperlukan untuk menukar agama seorang individu bawah umur.

Dalam kes ini, bapa terbabit memfailkan semakan kehakiman pada 2016 bagi membatalkan pengislaman anak-anaknya yang didakwa dilakukan tanpa pengetahuan dan kebenarannya.

Beliau turut memohon deklarasi bahawa sijil pengislaman mereka terbatal dan tidak sah, dan bahawa mereka diislamkan secara tidak sah.

Bekas isterinya, kata bapa itu, menukar agama anak-anak mereka dengan tujuan untuk mendapatkan hak penjagaan.

Pada 16 Okt 2018, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman berkenaan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Azizah Nawawi (kini hakim Mahkamah Rayuan) dalam penghakimannya berkata, fakta yang tidak boleh dipertikai adalah sijil pengislaman kedua beradik itu dikeluarkan tanpa kebenaran bapa mereka.

Pendaftar muallaf Wilayah Persekutuan dan ibu kanak-kanak terbabit mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membatalkan sijil pengislaman tersebut.

Wanita itu memeluk Islam pada Disember 2015 ketika dia dan bekas suaminya dalam proses perceraian, dan mengislamkan anak-anak mereka di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) pada Mei 2016.

Wanita berkenaan sebelum itu diberi hak penjagaan dua anaknya oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam, namun diperintahkan untuk menyerahkan hak tersebut kepada bekas suaminya setelah Mahkamah Rayuan memihak kepada lelaki berkenaan.

Bapa terbabit diwakili peguam K Shanmuga, manakala Nizam Bashir mewakili pendaftar muallaf Wilayah Persekutuan dan Arham Rahimy mewakili ibu kanak-kanak terbabit.