Gempar!!! Malaysia dijangka tidak menghantar jemaah haji tahun ini

Satu mesyuarat Jemaah Menteri bakal diadakan dalam tempoh terdekat untuk memutuskan sama ada kerajaan akan meneruskan penghantaran jemaah haji tahun ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary.
Beliau berkata, pihaknya turut difahamkan sudah ada beberapa negara yang memutuskan untuk tidak menghantar jemaah menunaikan haji tahun ini.
“Apa pun, kita tunggulah keputusan (Jemaah Menteri) kerana masa yang ada sudah semakin suntuk.
“Memang negara kita dibenarkan untuk mengerjakan haji dalam jumlah tertentu namun angka atau kuotanya masih lagi kabur,” katanya hari ini.
Ahmad Marzuk berkata, berdasarkan maklumat, kerajaan Arab Saudi membenarkan hanya 60,000 jemaah haji tahun ini, iaitu 45,000 jemaah dari seluruh dunia dan 15,000 jemaah dari negara itu sendiri.
“Malaysia juga mendapat ruang tertentu tetapi kita belum mendapatkan lagi keputusan jelas (jumlah sebenar kuota jemaah) daripada kerajaan Arab Saudi.
“Kita jangkakan dalam masa terdekat ini jumlah itu bakal diperoleh,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai vaksin Sinovac yang tidak diterima pakai oleh Arab Saudi, Ahmad Marzuk, yang juga Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, berkata kerajaan akur jika peraturan itu ditetapkan negara tersebut.
“Soal itu sebenarnya tidak berbangkit kerana sudah ramai rakyat negara ini yang mengambil vaksin Pfizer-BioNtech dan vaksin jenis itu diiktiraf oleh Arab Saudi,” katanya. – FMT