Gempar!!! Markah prestasi kakitangan Perkeso mengambil kira jumlah ‘like’ fb CEO
Penilaian prestasi kakitangan Perkeso kini mengambil kira jumlah pautan yang dikongsi mereka dari akaun rasmi Facebook Ketua Eksekutif pertubuhan itu, Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.
Mulai 1 Mac lalu, penilaian prestasi warga Perkeso memperuntukan markah khusus berdasarkan jumlah perkongsian pautan dari Facebook beliau.
Maklumat itu terkandung dalam memo yang hantar oleh Azman kepada seluruh kakitangan Perkeso dan diperolehi oleh FMT.
Ia menyusul selepas berita gempar kakitangan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) diminta ‘like’ dan ikut akaun media sosial menteri.
KKMM bagaimanapun menafikan arahan sedemikian dikeluarkan, sungguhpun kakitangan di beberapa jabatan mengesahkan menerima ‘permintaan’ sedemikian.
Dalam kes Perkeso, memo tiga muka surat yang ditandatangani Azman itu menetapkan perkongsian pautan yang dimuat naik di akaun Facebook Ketua Eksekutif Perkeso dijadikan sebahagian kategori dalam Sistem Perancangan dan Penilaian Prestasi Anggota (SPPPA) Perkeso 2021.
“Jawatankuasa Pengurusan Perkeso telah menetapkan bahawa perkongsian maklumat rasmi Perkeso melalui platform media sosial Ketua Eksekutif adalah terhad kepada medium Facebook sahaja,” menurut memo itu.
Memo itu menyatakan pemberian markah secara berkala kepada kakitangannya berdasarkan jumlah perkongsian dalam setahun.
Lima markah diberikan kepada kakitangan Perkeso yang berkongsi maklumat dari akaun rasmi Facebook Azman sebanyak melebihi 50 kali dalam setahun.
Berkongsi satu hingga lima kali setahun sekadar diberi 1 markah.
Menurut memo itu, pelaksanaan pemarkahan penilaian perkongsian maklumat rasmi Perkeso menerusi Facebook itu, diletakkan dalam komponen penilaian “kegiatan dan sumbangan di luar tugasan rasmi”, dengan wajaran 5%.
“Secara prinsipnya, perkongsian maklumat Perkeso melalui platform media sosial ini selaras dengan pendekatan pengguna masa kini yang menjadikan Facebook sebagai medium pantas bersifat semasa.
“Sila ambil perhatian semua pembuktian terhadap maklumat di setiap komponen berkenaan khususnya perkongsian maklumat rasmi Perkeso melalui media sosial Facebook Ketua Eksekutif terletak kepada rekod atau simpanan anggota,” menurut memo berkenaan.
Dalam pada itu, sumber Perkeso menjelaskan akaun Facebook Ketua Eksekutif adalah milik badan itu dan diselia olehnya.
“Facebook milik Ketua Eksekutif sepenuhnya milik Perkeso dan diselia oleh pihak kami, ia bukan hak peribadi,” kata sumber kepada FMT.
Sumber juga mengesahkan semua kakitangan Perkeso menerima memo bertarikh 24 Februari dari pejabat Ketua Eksekutif menerusi emel rasmi masing-masing. – FMT