Gempar!!! Selepas lama ‘bersembunyi’, akhirnya Latheefa Koya muncul hentam PH gagal

Gempar!!! Selepas lama ‘bersembunyi’, akhirnya Latheefa Koya muncul hentam PH gagal

Pentadbiran Pakatan Harapan (PH) terlepas peluang menyelesaikan isu pemberian kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu rakyat Malaysia, kata peguam hak asasi manusia Latheefa Koya.

Dalam bual bicara bersama pelawak Harith Iskandar, Latheefa berkata semua pentadbiran kerajaan gagal menguruskan isu berkenaan.

“Kita berurusan dengan sesuatu yang boleh diselesaikan. Begitu banyak peluang, namun saya tidak melihat semangatnya dari segi politik.

“Pada 2018, kita meletakkan harapan tinggi terhadap PH yang menabur banyak janji. Selepas mereka berkuasa, kami berharap beberapa isu itu akan diberi keutamaan (melibatkan) perkara yang mampu diubah.

“Malangnya, itu tidak berlaku,” katanya dalam rancangan Harith, “What’s going on Malaysia?”

Latheefa, yang juga bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika pentadbiran PH, berkata perikatan yang berkuasa selama 22 bulan itu tidak boleh memberikan alasan tidak mempunyai masa mencukupi untuk melaksanakan pindaan undang-undang mahupun dasar.

Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sepatutnya berpeluang meminda undang-undang bagi menjamin tiada perbezaan layanan antara ibu dan bapa dalam pemberian kewarganegaraan kepada anak yang lahir di luar negara.

“Itu tidak diselesaikan. Terus terang, tiada apa yang diselesaikan…dan isu ini bukannya baharu,” katanya.

Latheefa, yang kini telah kembali dalam bidang guaman, berkata beliau “sangat kecewa” kerana kerajaan PH berjanji untuk menangani isu terbabit.

“Bukan sekadar isu itu, malah banyak lagi sebenarnya,” katanya sambil menambah ia termasuk penghapusan hukuman mati.

Beliau berkata, bekas Menteri Undang-Undang, Liew Vui Keong, seorang yang cukup bersemangat menyokong penghapusan hukuman mati, namun berdepan kekangan dalam kerajaannya sendiri.

“Semua undang-undang bersifat menindas sepatutnya boleh dihapuskan menerusi pembentangan rang undang-undang. Saya pun tidak tahu apa alasannya. Itulah yang mengecewakan. Bukannya mereka tidak tahu apa yang patut dilakukan. Mereka yang menjanjikannya,” katanya.

Dalam isu berasingan, Latheefa berkata, wujud keperluan menukar pemikiran bahawa ada ‘sang penyelamat’ akan menyelamatkan Malaysia sekiranya individu itu menjadi Perdana Menteri.

Beliau berkata, rakyat perlu berterusan mendesak perubahan, dan masyarakat sivil juga mempunyai peranan, namun perlu terlebih dulu mengasingkan diri daripada politik kepartian.

“Anda boleh bercakap tentang politik, tetapi perlu mengatasinya. Ia bukan sekadar hitam putih membabitkan kumpulan yang baik dan jahat. Kita sepatutnya berkemampuan membuat keputusan secara bijaksana dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Sumber – FMT