Gempar!!! Semua hospital diarah tangguhkan pembedahan dan prosedur elektif untuk beri keutamaan Covid-19
Kementerian Kesihatan (KKM) mengarahkan hospital di seluruh negara memobilisasikan semua bidang klinikal bagi membantu perawatan Covid-19 termasuk di unit rawatan rapi (ICU).
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam surat pekeliling berkata ia termasuk penangguhan pembedahan dan prosedur elektif selain sumber tenaga manusia di hospital kerajaan perlu dioptimumkan.
Arahan itu dibuat mengambil kira situasi terkini dimana kemasukan kes kritikal ke ICU meningkat sebanyak 44% berbanding tempoh dua minggu lalu di seluruh negara dengan beberapa negeri seperti Selangor, Kuala Lumpur, Kelantan dan Sarawak mencatatkan peningkatan kes.
Menurut Hisham, sebanyak 22 hospital KKM mencatatkan kadar penggunaan katil melebihi 70% ke 90%, dengan beberapa hospital bukan Covid-19 juga terpaksa merawat pesakit Covid-19 akibat kesesakan ICU.
“Lebih banyak katil perlu diagihkan untuk pesakit Covid-19.
Penangguhan pembedahan dan prosedur elektif membolehkan lebih banyak wad di pelbagai disiplin klinikal diguna sama bagi tujuan perawatan pesakit Covid-19.”
Susulan arahan penangguhan itu, beliau turut mengarahkan sebahagian anggota pelbagai kategori dari semua disiplin klinikal dan bukan klinikal di mobilisasi secara sementara ke wad Covid-19 termasuk ICU.
Dalam pada itu, Hisham menggesa hospital hybrid Covid-19 untuk mengoptimumkan penggunaan katil hospital.
Katanya, agihan katil Covid-19 perlu mencecah 50% dari jumlah keseluruhan katil di hospital terbabit semasa berdepan peningkatan kes. Secara purata, hospital hybrid Covid-19 telah mengagihkan sebanyak 21% dari jumlah keseluruhan katil untuk pesakit Covid-19.
“Polisi pemantauan dan kuarantin di rumah bagi pesakit Covid-19 tanpa gejala dan dengan gejala ringan perlu dilaksanakan sebaiknya,” katanya.
Katanya, hospital dan jabatan kesihatan negeri juga perlu mengenal pasti lebih banyak ruang wad untuk ditukar fungsi kepada wad ICU bagi menambah bilangan katil merawat pesakit Covid-19.
“Pelaksanaan kerja secara syif boleh dilakukan bagi mengurangkan kelesuan dan keletihan dalam kalangan anggota perubatan.”
Kata Hisham, anggota baru dilantik secara kontrak atau yang baru ditempatkan di kawasan kritikal seperti ICU perlu diberi latihan singkat dan pantas bagi memenuhi keperluan mendesak.
Penyumberan luar pembedahan dan proses elektif ke hospital swasta perlu dipertingkatkan terutamanya kes tertangguh yang perlu disegerakan, katanya.
“Penglibatan Hospital Angkatan Tentera dan hospital pengajar di negeri masing-masing juga perlu dipertingkatkan sama ada untuk membantu perawatan pesakit Covid-19 atau bukan Covid-19,” katanya.
Terdahulu, lebih 500 kes ke ICU dilaporkan di pelbagai hospital, iaitu rekod tertinggi sejak pandemik Covid-19 melanda negara. – FMT