Gerakan sediakan bantuan guaman terhadap Muhyiddin, Wan Saiful berdepan saman Najib

Gerakan sediakan bantuan guaman terhadap Muhyiddin, Wan Saiful berdepan saman Najib

Selepas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bertindak mengemukakan tindakan undang-undang terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Saiful Wan Jan, Gerakan hari ini menghulurkan bantuan peguam kepada kedua-dua individu tersebut.

Menurut presidennya, Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai, pihaknya akan menghantar peguam dalam kalangan parti itu yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam bidang udang-undang bagi membantu Muhyiddin yang meletakkan jawatannya semalam.

“Saman fitnah yang akan difailkan oleh bekas Perdana Menteri itu adalah satu tindakan yang tidak wajar dan dilihat ia adalah satu perbuatan balas dendam.

“Ia adalah satu peluang yang diambil ke atas Muhyiddin Yassin setelah tidak lagi tidak ada kuasa sebagai Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Dominic berkata mengapa tidak Najib memfailkan saman sewaktu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri dan adakah Najib takut banyak kes rasuahnya terbongkar.

“Saya dimaklumkan Najib merujuk kepada ucapan Muhyiddin semalam yang antara lain menyebut dia tidak akan “bersekongkol” dengan kumpulan “kleptokrat” dan mengganggu kebebasan mahkamah.

“Saya ingin bertanya kepada Najib, mengapa dia mahu melenting adakah terasa bahawa itu adalah dia? Siapa makan cili dia rasa pedas?, soal Dominic.

Semalam, Najib menyatakan hasrat untuk mengemukakan saman fitnah terhadap Muhyiddin dan Wan Saiful.

Tindakan itu diambil selepas Muhyiddin dalam kenyataannya didakwa turut mengheret nama Najib.

Sumber – MalaysiaGazette