Gerakan sokong kerajaan PN wujudkan semula GST

Gerakan sokong kerajaan PN wujudkan semula GST

Gerakan menyokong pelaksanaan semula cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang diwujudkan ketika pentadbiran BN sebelum ini, tetapi dengan beberapa penambahbaikan, kata Presidennya, Dominic Lau.

Lau berkata antaranya merupakan pengurangan kadar kepada 3 peratus bagi merangsang perniagaan yang mampu meningkatkan peluang pelaburan dan pekerjaan serta pendapatan boleh guna yang tinggi untuk rakyat.

“GST adalah sistem cukai yang lebih mudah, telus dan lebih cekap, ia akan dapat meningkatkan hasil dan menggerakkan pertumbuhan ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Lau turut membuat perbandingan antara sistem percukaian GST dan SST.

Menurutnya GST mampu mengelakkan terjadinya cukai berganda.

Untuk rekod, kadar GST ketika ia mula diperkenalkan pada 2015 merupakan 6 peratus. Namun ia kemudian dimansuhkan dan digantikan dengan SST apabila Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan pada 2018.

Bagi kadar cukai SST, 10 peratus dikenakan bagi cukai jualan dan 6 peratus untuk perkhidmatan.

“Gerakan menyokong melaksanakan semula GST dengan syarat menghapuskan SST dan cukai-cukai lain seperti cukai perkhidmatan digital, cukai soda and cukai pelepasan udara untuk meringankan beban rakyat,” kata Lau.

Antara lain, Lau turut mencadangkan penambahbaikan dalam cukai tersebut supaya kelewatan pengembalian wang diminimumkan terutamanya bagi pengeksport dan perniagaan yang mempunyai bekalan berkadar sifar.

Sumber: https://www.malaysiakini.com/news/555879