Geramm : Wahai orang politik, beritahu status Covid-19 anda
Kumpulan Gerakan Media Merdeka (Geramm) menggesa ahli politik yang menjalani kuarantin setelah pulang dari Sabah untuk mendedahkan keputusan ujian Covid-19 mereka, sama ada positif atau negatif.
Gesaan itu susulan kenyataan New Straits Times Press Berhad bahawa seorang pekerjanya yang membuat liputan di Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah baru-baru ini didapati positif wabak itu.
Geramm berkata, pemakluman status kesihatan mereka di media sosial akan membantu wartawan dan orang awam yang pernah berhubung dengan mereka.
“Selain daripada terus mengamalkan kuarantin kendiri, kami memohon kerjasama dari semua pihak, terutama pemimpin negara yang menjemput media bagi membuat liputan di acara agar memaklumkan tentang status kesihatan masing-masing.
“Mana-mana pemimpin politik yang pulang dari Sabah dan sedang menjalani kuarantin disarankan mengemas kini status kesihatan, sama ada negatif atau positif daripada jangkitan Covid-19,” kata gerakan itu dalam kenyataan hari ini.
Jika ada keraguan, katanya, penjelasan segera perlu diberikan agar pengamal media yang bertugas dan berisiko menjadi kontak rapat mereka dapat mengambil langkah pencegahan.
Dalam pada itu, Kesatuan Wartawan Nasional Malaysia (NUJ) turut menyuarakan kebimbangan berhubung laporan seorang pengamal media yang dijangkiti Covid-19, dan mengingatkan mereka agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Dengan perkembangan dan statistik penularan yang semakin meningkat, NUJ ingin mengingatkan setiap petugas media agar sentiasa memakai pelitup muka ketika membuat liputan, selain menggunakan cecair pembasmi kuman dan menjaga kebersihan diri.
‘Ingat bahawa kita semua petugas barisan hadapan dan mempunyai peranan penting dalam menyampaikan maklumat kepada orang ramai dan menjaga negara,” kata NUJ dalam kenyataan.
Sumber : Malaysiakini