Giant dan Cold Storage kini milik penuh usahawan muda Malaysia

Giant dan Cold Storage kini milik penuh usahawan muda Malaysia

 

DFI Group (DFI) memeterai perjanjian dengan syarikat tempatan terkemuka Malaysia yang diketuai oleh ahli perniagaan dan usahawan, Datuk Andrew Lim, untuk mengambil alih keseluruhan perniagaan makanan DFI di Malaysia, termasuk jenama ikonik Giant.

DFI dalam satu kenyataan berkata, peralihan itu dijangka selesai awal bulan depan.

Lim mempunyai rekod prestasi yang luas dan dikenali dengan kejayaannya dalam kepimpinan runcit serta menyumbang ketara kepada pertumbuhan dan transformasi landskap runcit di Malaysia.

Beliau juga adalah Timbalan Pengerusi Kumpulan SOGO Department Store Sdn Bhd, serta Pengerusi Eksekutif Kumpulan GAMA yang memiliki dan mengendalikan jenama ikonik GAMA Supermarket & Departmental Store di Pulau Pinang.

“Syarikat tempatan ini berkongsi kepercayaan yang sama seperti DFI dalam memberifokus kepada menyampaikan kualiti, perkhidmatan serta nilai hebat kepada pelanggan.

“DFI yakin pemilik tempatan berpengalaman seperti Lim akan memberi manfaat serta perubahan positif kepada pelanggan dan kakitangan Giant, Cold Storage dan Mercato.

“Perkembangan positif ini sudah pasti akan menjana pertumbuhan masa depan berdasarkan pengetahuan pasaran yang mendalam, pelaburan jenama dan kekuatan daya saing untuk membentuk landasan kukuh,” kata kenyataan itu.

Menurut DFI, syarikat tempatan itu juga akan mengambil alih 2,500 kakitangan sedia ada.

“DFI berterima kasih ke atas dedikasi dan komitmen kakitangan, serta percaya pengalaman dan semangat mereka terhadap jenama ini akan diteruskan dengan memberi sokongan padu kepada cita-cita kompetitif Lim dan pasukan kepimpinan tempatan ini.

“Mereka juga akan menerima manfaat daripada peluang pertumbuhan kerjaya denganmenjadi sebahagian daripada syarikat yang lebih besar di Malaysia,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif DFI Retail Group Asia Tenggara, Chris Bush, berkata syarikat itu yakin dengan kepimpinan syarikat tempatan terbabit menerajui kejayaan masa depan perniagaan makanan.

“Kami amat gembira apabila dapat memastikan perolehan perniagaan makanan ini diberi kepada syarikat tempatan yang dihormati serta berjaya, dengan mengekalan kakitangan berdedikasi syarikat, di mana ia menyediakan peluang pertumbuhan kerjaya untuk kakitangan dan meningkatkan daya saing, perkhidmatan serta memberi nilai yang lebih besar untuk pelanggan di Malaysia.

“Kami mendoakan yang terbaik kepada pemilik baharu serta semua rakan sekerja kami di masa hadapan,” katanya.

Sementara itu, Lim berkata: “Kami mengucapkan terima kasih kepada DFI Retail Group kerana memberi kepercayaan serta amanah kepada kami memajukan lagi jenama runcit terkenal di Malaysia ini.

“Kami, bersama-sama dengan 2,500 rakan serta teman sekerja yang baharu ini akan berusaha sebaik mungkin untuk menambah nilai dan meningkatkan ekuiti jenama Cold Storage, TMC, Giant dan Mercato di Malaysia.

“Sementara itu, menurut DFI, ia kekal komited terhadap perniagaan runcit di Malaysia dengan mempertajamkan fokus strategik kepada perniagaan kesihatan dan kecantikan yang kini berkembang pesat.

Katanya, DFI Group akan terus memiliki dan mengendalikan sepenuhnya kedai Guardian Health and Beauty dan merancang pertumbuhan pesat Guardian Malaysia dengan jangkaan penambahan rangkaian kedai yang kini melebihi 500 cawangan serta menambah ratusan perkerjaan dalam tempoh dua tahun ini.

“Peralihan ini akan membolehkan DFI Group menumpukan perhatian eksklusif kepada pengembangan perniagaan Guardian di Malaysia. Kami teruja dengan peluang untuk memajukan Guardian dengan lebih pesat disokong dengan penambahan cawangan yang ketara, penambahbaikan kedai dan peningkatan tawaran kepada pelanggan,” katanya.