Gitaris lejen, Man Kidal dan isteri positif Covid-19
Sambutan Hari Raya Aidiladha disambut hiba oleh pemain gitar legenda, Man Kidal apabila dia dan isterinya Norlaila Yusof disahkan positif Covid-19.
Berita duka itu dikongsikan oleh anak bongsunya, Nur Syahira Rahman, 25, yang memaklumkan ibu bapanya sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah.
“Minggu lepas ibu disahkan positif Covid-19 selepas mengalami demam berpanjangan dan batuk.
“Disebabkan itu, papa, bapa saudara dan dua anak saudara perlu menjalani ujian saringan kerana mereka tinggal serumah.
“Apa yang menyedihkan, petang semalam papa dimaklumkan dijangkiti Covid-19. Dia juga mengalami demam panas dan sakit badan. Bagaimanapun bapa saudara dan dua anak suadara didapati negatif wabak berkenaan,” katanya.
Menurut Nur Syahira, sambutan Aidiladha kali ini sangat berbeza dan amat menyedihkan mereka sekeluarga.
“Saya menghubungi mereka setiap sejam untuk mengetahui perkembangan terkini. Ketika disahkan positif, keadaan mama sangat teruk. Mama demam hingga tak boleh bangun dan hilang deria bau.
“Bagaimanapun sakitnya beransur pulih, semalam. Cuma sekarang ini papa masih demam dan hilang selera makan. Ketika hubungi mereka pun saya tak dapat berbual lama tapi syukur dapat mendengar suara dan mengetahui perkembangan mereka.
“Sambutan Aidiladha tahun ini sangat berbeza sebab kami tak dapat nak sambut bersama seperti tahun-tahun sebelum ini. Selalunya mama akan sediakan juadah raya tapi kali ini terpaksa menanggung sakit,” katanya.
Tambah Syahira, kedua ibu bapanya kini ditempatkan di salah satu bilik dan menunggu masa untuk dibawa ke pusat kuarintin untuk menerima rawatan susulan.
“Saya sudah memaklumkan keadaan mama papa pada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kini hanya menanti tindakan selanjutnya. Namun jika berlaku sebarang kecemasan KKM minta bawa mama papa ke hospital segera,” katanya.
Dalam masa sama, Nur Syahira memohon orang ramai untuk mendoakan kesihatan ibu bapanya agar segera sembuh.
“Sama-sama kita doakan semoga mama papa cepat sembuh. Saya sangat risau memandangkan usia mereka sudah meningkat,” katanya.
Sumber – Harian Metro
.