Guna kutipan cukai sawit, Teresa bantu Khairuddin cara penyelesaian tampung subsidi minyak masak

Guna kutipan cukai sawit, Teresa bantu Khairuddin cara penyelesaian tampung subsidi minyak masak

Seorang bekas menteri mencadangkan supaya kerajaan menggunakan kutipan duti eksport minyak sawit mentah dan cukai untung luar biasa industri sawit bagi menampung subsidi minyak tempatan berikutan kenaikan harga minyak masak ketika ini.

Teresa Kok yang juga bekas Menteri Industri Utama berkata, kenaikan harga minyak masak juga boleh meningkatkan harga makanan yang bergantung kepada minyak masak dan dasar baharu juga perlu diperkenalkan atas subsidi minyak masak tempatan

“Lanjutan tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) demi mencegah pandemik Covid-19 telah menyebabkan ramai orang hilang pendapatan dan jatuh dalam kancah kemiskinan.

“Kehidupan mereka bertambah susah bila harga sesetengah barang keperluan seperti minyak masak melambung naik,” katanya dalam kenyataan.

Teresa berkata, industri minyak sawit Malaysia adalah industri yang menyumbang paling banyak cukai kepada kerajaan dan kerajaan juga dijangka mengutip kerajaan akan dapat mengutip kira-kira RM2 bilion daripada duti eksport minyak sawit mentah (MSM) dan levi keuntungan luar biasa dalam industri minyak sawit pada tahun 2021.

Katanya, selain daripada cukai pendapatan syarikat minyak sawit di setiap tahap industri itu, kerajaan juga mengenakan ses sebanyak RM16 untuk setiap tan minyak sawit mentah (MSM).

Beliau berkata, kerajaan juga mengutip duti eksport MSM dan levi keuntungan luar biasa (Windfall Profit Levy) bila harga MSM masing-masing melebihi RM2,250 dan RM2,500 per metrik tan

“Selama ini, kerajaan memberi subsidi minyak masak bila harga RBD Olein sawit melebihi RM2,300 per tan metrik, tetapi subsidi ini hanya diberi kepada minyak masak 1kg polibeg sahaja tetapi bukan minyak masak 2kg hingga 5kg dalam botol.

“Harga minyak masak dalam botol 5kg melonjak naik melepasi harga antara RM30 hingga RM32.70 sebotol berbanding hanya RM20 hingga RM23 sebotol pada pertengahan 2019. Peningkatan harga ini mendatangkan sungutan daripada pengguna dan ia menambahkan beban mereka,” katanya.

Katanya, sudah tiba masanya juga untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mengkaji keberkesanan subsidi minyak masak dalam bentuk 1kg polibeg.

Beliau berkata, banyak ketirisan dari segi pengedaran dan penjualan, sehingga ia tidak sampai kepada ramai warga yang memerlukan khususnya golongan B40, tetapi minyak yang bersubsidi itu digunakan oleh penjaja dan malahan pengusaha restoran.

“Sehubungan dengan itu, tibalah masa bagi kerajaan mengeluarkan dasar baru, iaitu memberi subsidi kepada semua syarikat pengeluaran minyak masak bila harga MSM meningkat melebihi RM3,500.

Ia supaya kerajaan boleh menetapkan harga siling bagi minyak masak yang berbotol daripada 2kg hingga 5kg yang dikeluarkan di negara kita, sebagai langkah untuk mengawal inflasi,” katanya.

Sumber: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/14/guna-kutipan-cukai-sawit-untuk-tampung-subsidi-minyak-masak-kata-bekas-menteri/