Guna pili bomba tanpa kebenaran: Peguam ini dedah hukuman yang bakal diterima Siti Zailah jika sabit kesalahan

Guna pili bomba tanpa kebenaran: Peguam ini dedah hukuman yang bakal diterima Siti Zailah jika sabit kesalahan

 

Hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali boleh dikenakan kepada mana-mana individu yang menggunakan air daripada pili bomba tanpa kebenaran.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, hukuman itu diperuntukkan di bawah Seksyen 58 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 [Akta 341] bagi kesalahan menyalahgunakan pili bomba menerusi Seksyen 26 akta yang sama.

“Di bawah Sesyen 26 Akta 341 dinyatakan bahawa mana-mana orang yang menutup, mengepung atau menyembunyikan mana-mana pili bomba hingga menjadikan tempatnya sukar dipastikan, atau mengganggu mana-mana pili bomba, atau menggunakan pili bomba selain tujuan menentang kebakaran adalah melakukan suatu kesalahan.

“Jadi kalau ikut undang-undang menerusi Akta Perkhidmatan Bomba 1988, orang yang melakukan kesalahan berkenaan boleh dijatuhkan hukuman denda atau penjara atau kedua-duanya sekali jika didapati bersalah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan pada Ahad dilaporkan tidak menerima sebarang permohonan daripada ahli Parlimen untuk mengambil air daripada pili bomba.
Pengarahnya, Zainal Madasain berkata, pihaknya turut menghubungi Pengurus Besar Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) bagi mendapat maklumat.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff terdahulu menjelaskan tindakannya yang menggunakan pili bomba adalah mendapat kebenaran Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) serta Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang.

Pada 20 April lalu, Siti Zailah dilaporkan menghantar bekalan air di kawasan yang terjejas dengan menggunakan air daripada pili bomba.

Siti Zailah berkata, pihaknya menyediakan lori tangki yang mana sumber airnya diambil daripada pili bomba sebelum dihantar ke kampung yang mengalami masalah bekalan air bersih bagi memenuhi keperluan bekalan air untuk penduduk menyambut Hari Raya Aidilfitri di kawasannya.

Mengulas lanjut, Mohamed Haniff menjelaskan, tindakan mengambil air pili bomba tanpa kebenaran boleh mendatangkan kesan buruk jika berlaku kes kecemasan seperti kebakaran justeru kebenaran perlu diperoleh terlebih dahulu.

Bagaimanapun, beliau berkata, isu itu tidak wajar dipolitikkan dengan menuding jari kepada orang tertentu dan ia perlu dilihat dengan lebih bertanggungjawab supaya kes sama tidak berulang pada masa akan datang.

“Isu pokok dalam kes ini menunjukkan air tidak dibekalkan dengan sempurna di negeri itu jadi ia kena diselesaikan tak kisahlah kerajaan mana sekalipun yang memerintah. Kalau dah sampai ke tahap ahli Dewan Rakyat menggunakan pili bomba maksudnya bekalan air di kawasan itu memang teruk.

“Jadi pihak berkuasa dan pembekal bekalan air patut mengambil tanggungjawab dan peranan untuk membaik pulih sistem air di negeri itu kerana sudah berpuluh tahun tidak selesai,” ujarnya.

Menurutnya, pada masa pemimpin perlu menjadi contoh kepada rakyat walaupun dalam keadaan kecemasan iaitu perlu bertanggungjawab untuk mematuhi apa-apa pun undang-undang sama ada yang biasa atau undang-undang terpencil seperti Akta Perkhidmatan Bomba (kerana kesalahan di bawah akta itu jarang dibawa ke mahkamah).

Katanya, disebabkan itu pemimpin perlukan penasihat atau pegawai yang arif dalam setiap bidang dan bukan melantik pegawai mengikut naluri politik sahaja serta tidak mempunyai kepakaran kerana mereka perlu memperhalusi setiap tindakan yang mahu dibuat terlebih dahulu agar tidak menimbulkan sebarang pertikaian.