Guru agama dihukum mati rogol 13 pelajar hingga hamil, guna bayi untuk minta derma

Guru agama dihukum mati rogol 13 pelajar hingga hamil, guna bayi untuk minta derma

 

Mahkamah di Indonesia, pada Isnin, menjatuhkan hukuman mati ke atas seorang guru kerana merogol 13 gadis di sebuah sekolah agama.

Keputusan itu dibuat selepas pihak pendakwaan mengemukakan rayuan susulan tertuduh sebelum ini hanya dikenakan hukuman penjara seumur hidup.

Kes guru Herry Wirawan mengejutkan Indonesia dan menyerlahkan keperluan untuk melindungi kanak-kanak daripada keganasan seksual di sekolah berasrama penuh agama di negara itu.

Selepas dijatuhi hukuman penjara seumur hidup oleh sebuah mahkamah di Bandung pada Februari lalu, pendakwa raya memfailkan rayuan kepada mahkamah lebih tinggi, supaya tertuduh dikenakan hukuman mati.

“(Kami) dengan ini menghukum defendan dengan hukuman mati,” kata hakim dalam satu kenyataan pada Isnin yang disiarkan di laman sesawang Mahkamah Tinggi Bandung.

Ira Mambo, peguam Herry, enggan mengulas sama ada akan ada rayuan, dengan alasan keperluan untuk melihat penghakiman penuh daripada mahkamah.

Jurucakap pejabat pendakwa raya tempatan juga, berkata ia akan menunggu untuk menerima keputusan muktamad sebelum mengulas.

Antara 2016 dan 2021, Herry didakwa merogol 13 gadis yang berumur antara 12 dan 16 tahun termasuk menghamilkan lapan mangsanya, kata seorang hakim pada Februari lalu.

Pegawai Indonesia, termasuk menteri perlindungan kanak-kanak negara itu, juga menyokong gesaan untuk hukuman mati.

Ini walaupun suruhanjaya hak asasi manusia negara itu yang menentang hukuman mati, berkata ia tidak wajar.

Indonesia, negara majoriti Islam terbesar di dunia, mempunyai puluhan ribu pondok pesantren dan sekolah agama yang sering menyediakan satu-satunya cara untuk anak-anak keluarga miskin mendapat pendidikan.