Guru dedah 70K calon SPM tak layak dapat sijil, minta kembalikan silibus sekolah rendah

Guru dedah 70K calon SPM tak layak dapat sijil, minta kembalikan silibus sekolah rendah

 

Keputusan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) sudah diumumkan beberapa hari lalu. Ada yang menangis kegembiraan mengenangkan usaha keras mereka akhirnya berhasil. Tidak kurang juga yang sedih dan kecewa dengan keputusan yang diperolehi.

Namun, sekurang-kurangnya mereka berjaya menggenggam segulung sijil yang bakal menentukan arah tuju mereka selepas ini.

Menerusi satu perkongsian dari seorang guru, dikatakan seramai 70,000 calon SPM tidak layak mendapat sijil. Kenyataan ini sangat mengejutkan ramai pihak.

“10,000 straight A tapi 70,000 tidak layak mendapat sijil sama ada gagal BM atau gagal Sejarah atau kedua-duanya sekali,” tulisnya.

Di mana silapnya?

Dia juga mempersoalkan bagaimana pelajar tidak dapat mencapai markah lulus sedangkan pelbagai soalan KBAT telah disediakan bagi membantu mereka.

“Di mana silapnya? Sedangkan markah lulus terlalu rendah. Untuk BM ada 4 kertas/100.

Bahkan pelbagai soalan KBAT diwujudkan untuk membantu mereka. Begitu juga dengan subjek sejarah,” katanya.

Guru wanita ini juga merungkai punca permasalahan tersebut.

“Salah satu punca pelajar boleh membaca tapi tidak boleh mengeja. Dan paling teruk tidak tahu membaca dan mengeja waima sudah tingkatan 5. Salah siapa??? Selebihnya, mungkin sudah tidak berminat untuk belajar,” katanya.

Katanya lagi bermacam-macam cara sudah dilakukan untuk membantu para pelajar.

“Kami nak ajar membaca budak sekolah menengah? Pernah buat gaisss. Satu petikan dia nak baca habis satu jam habis pelajar lain? Aku nak letak mana? Ini yang merangkak. Yang lansung tak tahu aku nak ajar ba ni be bo bu ba bi,” katanya.

Kembalikan silibus sekolah rendah

Selain itu, dia meminta agar silibus sekolah rendah dikembalikan semula.

“Kembalikanlah silibus sekolah rendah tu.3 tahun pertama ajar kuasai 3M. Jangan masukkan silibus merepek. Bagi anak-anak gembira sekolah. Hafal abc, mengeja suku kata macam kita dulu-dulu. Hafal sifir tak perlu kalkulator.

“Jangan matikan keinginan anak-anak belajar. Jangan letak tanggungjawab ibu bapa. Ibu bapa sekarang struggle cari duit untuk kos hidup yang semakin meningkat, nak luangkan masa mengajar anak, agar sukar apatah lagi silibus entah apa-apa.

“Ibu bapa juga sangat berharap dengan kita. Guru-guru untuk memandaikan anak mereka.

Ajar anak, didik anak. Kerja kita guru-guru, cuma kita sebagai guru, kita perlukan pengertian dari pihak atasan,” tulisnya.