Gusar melihat rapuhnya idea Pelan Pemulihan Negara, pemuda ini luangkan masa menulis surat terbuka menegur Muhyiddin
SURAT TERBUKA KEPADA PERDANA MENTERI.
Tan Sri,
1. Semoga Tan Sri dalam rahmat Allah S.W.T.
2. Kira-kira 800 tahun dahulu, Muhammad Ibn Zhafar as-Saqilli menyusun Sulwan al-Muta’ Fi ‘Udwan Fi al-Atba’ sebagai panduan dan teguran kepada pemimpin dalam menguruskan masyarakat ketika zaman kekacauan. Di dalamnya sarat nasihat yang disampai-ajar melalui teka-teki dan kata-kata hikmah.
3. Saya tidak punya kebijaksanaan dan adigaya sebesar itu untuk menukil masnawi atau al-ī’tidhār. Lagi pun negara kita ini sudah terlalu sarat dengan teka-teki. Maka saya utus surat ini. Kerana saya percaya, sebagai rakyat Malaysia saya punya hak dan harus bersuara.
4. Tan Sri pernah ungkapkan, ‘I’m a Malay first, Malaysian at heart’ kira-kira 10 tahun lalu. Atas dasar itu, izinkan saya menyantuni kemelayuan yang dikatakan berakar umbi dalam jiwa Tan Sri itu, yang sebetulnya menuntut orang Melayu untuk menegur pemimpinnya.
Tan Sri,
5. Setelah berkali-kali menekuni Pelan Pemulihan Negara, tiada satu perkara ampuh pun yang boleh menghilangkan resah dan kebimbangan rakyat ditemukan. Betul. Tidak ada. Malah, setelah melihat cara Kerajaan ini (tidak) berfungsi, saya semakin resah. Kerana:
a. rupa-rupanya Kerajaan tidak ada pun pelan konkrit untuk mengeluarkan rakyat dan negara kita dari cabaran pandemik ini, melainkan sekadar pembahagian fasa-fasa mengikut jumlah kes,
b. tidak ada sebarang komitmen pemerkasaan sistem kesihatan secara besar-besaran untuk berhadapan dengan pandemik ini dan kesan selepasnya, dan
c. selepas hampir 500 hari hidup dalam kesempitan, ketakutan serta ketidaktentuan, dalam seloroh dan senyum separa manis Tan Sri masih tergamak menuntut berulang kali untuk kami rakyat bersabar dan bersabar dan bersabar.
6. Dalam kitab al-Furu’ (2:120) tentang fiqh Mazhab Syafie tulisan Imam Ibn al-Haddad al-Kinani, Imam Ahmad bin Hambal dipetik sebagai pernah berpesan, betapa andai doamu makbul dan doa itu hanya satu, maka mintalah diberikan pemimpin yang adil.
7. Saya, malah seluruh rakyat yang lain, akan terus berdoa. Kami akan terus bersangka baik dengan Tuhan. Apa lagi yang tinggal kepada kita sebagai hamba kalau bukan bersangka baik dengan Tuhan?
8. Namun Tan Sri, rakyat tidak mempunyai kewajipan untuk terus bersangka baik dengan seorang pemimpin. Apatah lagi kalau tidak terlihat terbitnya kebaikan dari semua itu.
9. Masa untuk sekadar memberikan kata-kata lunak sudah tamat. Pandang, jenguk dan rujuklah kehidupan marhaen di bawah sana yang semakin terhimpit. Kami bukan mahu dipujuk. Kami mahu dijenguk dan dirujuk.
10. Negara kita ini dalam kerancuan. Bukan kerana dilanggar todak atau diserang geroda. Dan sebetulnya, bukan juga kerana Covid-19 ini sahaja.
11. Rakyat sebenarnya sudah tidak takut pada Covid-19. Tetapi yang lebih menakutkan kami adalah melihat cara pemimpin di atas menguruskan zaman gawat. Kalian kelihatan selesa menutup dewan #demokrasi kerana tidak kisah untuk bertenggek di pagar monarki.
Tan Sri,
12. Pesan orang tua-tua, kalau hendak mencari tempat mandi, pertama teluk kedua pantai. Kalau hendak mencari menteri, pertama elok kedua pandai.
13. Sudah habis teluk kami pergi, sudah semua pantai kami sampai. Tapi, belum kami jumpa yang elok, belum kami nampak yang pandai.
14. Yang kami temukan. Ahli politik dan pemimpin menjadi badut dan menabur jenaka. Sedang ahli komedi membincangkan dasar dan isu masyarakat.
15. Di luar sana, sudah ramai saudara kami yang gugur. Entah berapalah yang masih mampu bertahan.
16. Ketahuilah wahai sang pemimpin. #BenderaPutih yang diangkat sesetengah kami itu tidak pernah bererti kami mengalah dengan takdir. Tetapi sekadar seruan memohon sebuah kelangsungan hidup.
17. Bendera Putih itu adalah lambang bahawa dalam masyarakat kita ini, masih menebal kemanusiaan dan kasih sayang.
18. Bendera itu mungkin putih dan kosong, tetapi masyarakat kita rencam warna dan rona. Jangan sesekali Tan Sri lupa semua itu.
Tan Sri,
19. Barangkali kami tidak cukup arif dan faham urusan negara. Tetapi apakah keburukannya andai kepimpinan Tan Sri menuntut semua GLC, 100 syarikat terbesar dan bank-bank yang merekodkan ratusan juta ringgit keuntungan pada tahun lalu untuk membeli vaksin sendiri dan menyuntik semua kakitangan mereka?
20. Mustahilkah untuk mewajibkan secara tegas semua #kilang dalam senarai ‘perlu’ agar memvaksin 85% kakitangan mereka terlebih dahulu sebelum dibenarkan beroperasi?
21. Pamerkanlah kesungguhan yang melebihi hari tenang. Gandakanlah ikhtiar yang luar biasa. Tunjukkanlah ihsan yang lebih benar dan besar. Bukan empati yang berupa-rupa dan berpura-pura.
22. Pesan Buya #HAMKA, kalau kerja sekadar kerja, kera di hutan juga bekerja.
23. Ada banyak perbezaan antara cara kera dan kerajaan bekerja. Setidak-tidaknya, itu yang kami masih percaya. Jangan sampai hilang pada mata kami akan perbezaan tersebut.
24. Saya tidak utuskan surat ini pada seorang Mahiaddin Yassin. Tetapi kepada seorang Perdana Menteri, kerusi dan jawatan yang Tan Sri sendiri sanggupi tanpa dipaksa-paksa oleh sesiapa.
25. Kalau pun pada Tan Sri rakyat di bawah ini terlalu kecil dan hina, setidak-tidaknya berilah makna dan penghormatan yang selayaknya pada kesakralan kerusi tersebut.
26. Saya berdoa kita tidak perlu bertemu di Hari Besar.
Mohd Daud
Kuala Lumpur.
Sumber : FB