“Habis rim kereta saya bengkok” – Sultan Johor titah baik pulih Lebuhraya Pasir Gudang & jalan Johor Bahru ke Mersing
Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar berharap kerajaan Persekutuan akan menyalurkan peruntukan khas kepada negeri ini bagi membaiki infrastruktur awam yang rosak dan harta benda yang musnah, akibat banjir.Baginda bertitah, hingga hari ini masih terdapat banyak kawasan yang belum pulih sepenuhnya, terutama di Batu Pahat, sejak negeri itu dilanda banjir pada 28 Feb lepas.
“Selepas bencana ini berakhir, saya harap kerajaan pusat beri peruntukan khas untuk baiki pulih infrastruktur awam yang telah rosak dan harta benda yang musnah.
“Saya juga seru kepada orang ramai untuk hulurkan bantuan dan sumbangan kepada mangsa banjir supaya mereka dapat baiki rumah yang sudah rosak dan gantikan perabot dan alatan rumah yang telah musnah,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan Mesyuarat Pertama Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-15, di Bangunan Sultan Ismail, di Iskandar Puteri, hari ini.
Sultan Ibrahim bertitah masalah banjir adalah kesan daripada perubahan iklim dunia, justeru, bangsa Johor digesa supaya membudayakan amalan mesra alam dan mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Baginda turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan Persekutuan dan semua pihak atas bantuan serta sumbangan yang dihulurkan kepada rakyat negeri ini ketika berada dalam keadaan sukar.
“Terima kasih kepada Perdana Menteri yang beri peruntukan kewangan segera bagi meringan beban mangsa banjir dan meluluskan projek tebatan banjir di Kota Tinggi, Batu Pahat dan Segamat untuk dilaksana segera.
“Suka saya mengatakan ucapan penghargaan kepada semua petugas yang bekerja bertungkus lumus, siang dan malam untuk bantu dan menyelamatkan mangsa banjir,” titah Sultan Johor.
Di samping menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan kewangan, bekalan makanan dan alatan pembersihan, baginda bertitah bantuan tenaga sukarela daripada seluruh pelosok tanah air juga sangat penting.
“Saya sangat bangga dengan semangat kerjasama dan bantu-membantu tanpa mengira kaum dan agama, ini budaya kita yang mesti dipertahankan,” titah baginda.
Baginda dalam pada itu turut berharap agar peruntukan dapat disalurkan kepada negeri Johor untuk pembaikan jalan yang rosak dan berlubang di Lebuhraya Pasir Gudang dan jalan dari Johor Bahru ke Mersing yang membahayakan pengguna jalan raya.
“Saya berharap agar bajet pembaikan Jalan Persekutuan akan disalurkan untuk membaiki Lebuhraya Pasir Gudang dan Jalan Johor Bahru ke Mersing yang berlubang dan membahayakan pengguna jalan raya. Habis rim kereta saya pun bengkok.
“Saya juga ingin mengambil kesempatan untuk merakamkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang telah mendengar permintaan Johor dengan memberikan peruntukan dalam Belanjawan 2023 untuk menaik taraf Lebuhraya Utara Selatan dari Yong Peng ke Senai kepada enam lorong,” titah Sultan Johor.