Hadi dakwa Malaysia masih diperintah PN

Hadi dakwa Malaysia masih diperintah PN

Pas menyeru agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) diberi peluang memerintah sehingga habis penggal bagi membolehkan rakyat bertenang selepas sekian lama bergelut dengan wabak Covid-19.

Memetik lapiran Utusan Online, presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tiada keperluan mendesak untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan secara tergesa-gesa sebagaimana desakan segelintir pihak.

“Kita sudah buat kenyataan yang tiga kerajaan negeri (diperintah Pas) dibubarkan hingga habis penggal kerana rakyat masih dalam keadaan letih, berpolitik bersama dengan wabak yang belum lagi selesai.

“Jadi lebih baik kita beri peluang kepada kerajaan yang ada untuk melaksanakan tugas dalam tempoh secukupnya, oleh itu kita bersetuju PRU-15 ditangguhkan,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di sini hari ini.

Mac lalu, Pas memutuskan untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di tiga negeri dikuasainya iaitu di Kelantan, Terengganu dan Kedah sehingga habis penggal, tahun depan.

Pendirian itu muktamad bagi menumpukan kepada kestabilan dan kesejahteraan hidup rakyat.

Bagaimanapun Abdul Hadi berkata, Pas bersiap-siaga untuk berdepan PRU-15, malah sudah menggerakkan jenteranya di seluruh negara termasuk menambah cawangan dan ahli.

Sementara itu katanya, Pas kekal dengan agenda perpaduan ummah menerusi kerjasama dengan dua parti Melayu terbesar iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan UMNO di samping Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta golongan bukan Islam yang tidak ekstrem.

“Kerjasama ini kita akan lihat perkembangannya, tetapi sehingga kini Pas terus membawa agenda perpaduan ummah iaitu Islam dan umat manusia,” katanya.

Menurut Abdul Hadi, setakat ini belum ada pertemuan antaranya dengan Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr. Mahathir Mohamad atas faktor kesihatan bekas Perdana Menteri itu.