Hakim Mahkamah Persekutuan isytihar klausa kecualikan kuasa hakim teliti alasan penahanan POCA tidak sah

Hakim Mahkamah Persekutuan isytihar klausa kecualikan kuasa hakim teliti alasan penahanan POCA tidak sah

Mahkamah Persekutuan mengisytiharkan klausa yang terdapat dalam peruntukan Akta Pencegahan Jenayah (POCA) yang mengecualikan kuasa hakim daripada meneliti alasan penahanan seseorang tahanan, adalah tidak sah.

Menurut laporan Berita Harian, Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nallini Pathmanathan yang mempengerusikan panel tiga hakim dalam penghakiman majoriti berkata, Seksyen 15B POCA bukan sahaja menyekat sebarang bentuk semakan kehakiman, tetapi juga menetapkan bahawa mahkamah tidak boleh menjalankan bidang kuasanya terhadap keputusan yang dibuat oleh lembaga POCA.

Penghakiman itu adalah berhubung rayuan seorang lelaki, T Dhinesh, yang ditahan kerana didakwa terbabit dalam aktiviti jenayah di mana pada 1 Oktober lalu, panel membenarkan rayuan perayu dan memerintahkan dia dibebaskan daripada tahanan pencegahan selama dua tahun di pusat pemulihan Bentong.

Alasan penghakiman dikeluarkan Mahkamah Persekutuan minggu ini.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi yang yang mendengar mana-mana permohonan habeas corpus (penahanan salah) hanya boleh mendengar dan memutuskan perkara yang berkaitan ketidakpatuhan pihak berkuasa yang melakukan penahanan, untuk mematuhi prosedur.

Nallini berkata, sekatan melalui klausa itu menurunkan fungsi badan kehakiman untuk memantau berhubung cara dan proses penahanan pencegahan dijalankan, contohnya dalam mengira bilangan hari bagi setiap peringkat prosedur atau sama ada borang tertentu sudah ditandatangani oleh tahanan.

Beliau berkata, klausa itu juga bermaksud untuk menghapuskan keupayaan mahkamah dalam meneliti kesahihan penemuan yang dibuat oleh lembaga POCA yang merupakan tribunal lebih rendah.

Menurut hakim itu, ia bertujuan melucutkan fungsi kehakiman dalam penyeliaan mahkamah melalui Perkara 4 (undang-undang utama persekutuan) dan 5(2) (kebebasan asasi) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mempersoalkan sama ada Seksyen 15B beroperasi bagi menghalang mahkamah daripada memastikan kesahihan perlembagaan klausa itu yang bertujuan melindungi semua keputusan yang dibuat di bawah POCA.

“Daripada analisis yang meluas terhadap undang-undang dan kes terdahulu, ia pada dasarnya tidak konsisten dengan peruntukan Perkara 4(1) itu sendiri. Sehubungan itu, ia (Seksyen 15B) adalah tidak sah,” katanya.

Seorang lagi hakim dalam panel iaitu Datuk Harmindar Singh Dhaliwal bersetuju dengan pandangan itu, bagaimanapun Hakim Datuk Rhodzariah Bujang berkecuali terhadap isu itu kerana menurutnya isu berkenaan ‘lebih baik dan lebih cepat ditangani’ pada perbicaraan semula dalam satu kes berkaitan POCA yang dijadualkan pada 25 April ini.

Sementara itu, Nallini berkata terdapat pelanggaran kepada Seksyen 4(2)(a)(ii) POCA kerana perintah majistret gagal menunjukkan bahawa kenyataan pendakwa raya ada dikemukakan apabila beliau memerintahkan reman 38 hari selepas luput tempoh reman pertama selama 21 hari.

Beliau berkata, keengganan pengerusi lembaga POCA untuk memanggil saksi Dhinesh ketika perbicaraan di pusat itu adalah melanggar keadilan semula jadi dan merupakan ketidakpatuhan prosedur.

Pendakwaan diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, Muhammad Sinti dan Farah Ezlin Yusop Khan manakala Dhinesh diwakili Peguam Jay Moy Wei Jiun dan Jayarubbiny Jayaraj.