Hamidah dedah Mesyuarat Exco Perak tak bincang tukar status rizab Melayu

Hamidah dedah Mesyuarat Exco Perak tak bincang tukar status rizab Melayu

 

Selepas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, seorang lagi bekas Exco Kerajaan Negeri Perak menyatakan kesediaan untuk memberi kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkaitan siasatan penyelewengan penukaran status tanah rizab Melayu di negeri itu.

Beliau ialah Datuk Hamidah Osman yang memegang portfolio Industri, Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Pelancongan dan Hal Ehwal Wanita pada tahun 2012.

Menurut Hamidah, sepanjang menjawat jawatan Exco pada tahun berkenaan, tidak ada kertas Exco yang dibawa ke dalam mesyuarat untuk diluluskan berkaitan nyahwarta Tanah Rizab Melayu.

“Seingat saya memang tiada paper (kertas Exco) berkaitan penukaran status Tanah Rizab Melayu dibincangkan dalam mesyuarat Exco. Biasanya mesyuarat Exco akan bincang kelulusan permohonan tanah dan penukaran status tanah sama ada daripada pertanian kepada perumahan atau perindustrian dan sebagainya tanpa maklumat pemilikan tanah.

“Biasanya di peringkat Pejabat Daerah dan Tanah lagi akan tolak permohonan syarikat bukan bumiputera untuk buat pembangunan atas Tanah Rizab Melayu ini jika ada,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Hamidah bagaimanapun bersedia untuk dipanggil pada bila-bila masa oleh SPRM bagi membantu siasatan yang sedang dilakukan suruhanjaya terbabit.

Beliau dalam pada itu menyambut baik siasatan dibuat SPRM itu biarpun kes tersebut sudah lama berlaku kerana ia membuka mata banyak pihak bahawa terdapat banyak kelemahan dalam sistem pentadbiran tanah di negara ini.

“Saya antara orang yang terawal membangkitkan isu berkaitan Tanah Rizab Melayu ini. Alhamdulillah, SPRM mula bertindak walaupun lewat tetapi sudah ada pendakwaan dibuat dan ini menunjukkan bahawa memang ada kepincangan yang berlaku.

“Kita juga harap selain SPRM menangkap individu terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan, pada masa sama kita mahu kerajaan-kerajaan negeri mengambil tindakan susulan dengan mengemaskini prosedur berkaitan Tanah Rizab Melayu bagi memastikan kes seumpanya tidak berlaku,” katanya.

Sementara itu, Hamidah turut menyarankan kepada kerajaan negeri agar mengunapakai Seksyen 19 Enakmen Rizab Melayu bagi mengambi semula tanah yang sudah ditukar status itu.

Jelasnya, enakmen tersebut menetapkan bahawa apa jua urusniaga yang bertentangan dengan enakmen berkenaan adalah tidak sah dan terbatal jika tidak mengikut prosedur serta syarat-syarat yang dibenarkan.

“Enakmen ini menjelaskan bahawa kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk membatalkan kelulusan dan merampas tanah tersebut.

“Termaktub dalam enakmen bahawa tiada tindakan mahkamah boleh dibuat terhadap kerajaan dan juga tiada sebarang sewa atau pampasan yang boleh dituntut oleh sesiapa di mana-mana mahkamah sekali pun,” katanya.

Hamidah berkata, kerajaan negeri juga boleh merujuk Laporan Ketua Audit Negara 2019 berkaitan Tanah Rizab Melayu yang menyentuh mengenai Seksyen 8 Enakmen Rizab Melayu bahawa tiada apa jua pegangan Melayu boleh dipindah milik, digadai, dipajak atau dilupuskan sebaliknya kepada mana-mana orang yang bukannya seorang Melayu.

Katanya, seksyen tersebut turut menyebutkan tiada apa jua memorandum pemindahmilik, gadaian atau pajakan yang bertentangan dengan seksyen berkenaan layak untuk didaftarkan di mana-mana Pejabat Tanah atau Pejabat Pendaftar Hak Milik.

Pada Isnin, Saarani yang merupakan Exco Kerajaan Negeri Perak pada tahun 2012 menyatakan kesediaan untuk memberi keterangan jika dipanggil oleh SPRM berhubung siasatan tersebut.

Media pada 9 Jun lalu melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki memaklumkan kemungkinan akan memanggil beberapa lagi saksi untuk memberi keterangan berhubung kes penipuan status tanah rizab Melayu seluas lebih 600 hektar di Perak pada 2012.

Saksi-saksi berkenaan termasuk bekas Exco kerajaan negeri dan petugas Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Perak dalam perkhidmatan ketika itu.