Hampir 10 juta generasi muda Indonesia tidak bersekolah, bekerja – kajian
Laporan daripada Badan Pusat Statistik (BPS) menunjukkan hampir 10 juta atau sekitar 9.9 juta generasi muda Indonesia dalam lingkungan usia 15 hingga 24 tahun tidak menjalani kehidupan secara produktif.
“Ia dalam erti kata mereka tidak bekerja, tidak bersekolah dan tidak mengikuti sebarang bentuk latihan. Kebanyakan mereka adalah daripada kelompok generasi Z,” demikian menurut kenyataan BPS.
Menurut perincian data BPS, jumlah generasi muda yang tergolong daripada kalangan generasi Z yang tidak bersekolah, bekerja dan tidak menjalani sebarang latihan mencapai 9,896,019 orang.
Sementara itu, jika berdasarkan pecahan jantina pula, perempuan membentuk sebanyak 5.73 juta orang (26.54 peratus), sementara jumlah lelaki mencapai 4.17 juta orang bersamaan dengan 18.21 peratus.
Angka itu adalah setara dengan 22.25 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk muda Indonesia.
Terdapat pelbagai faktor yang membawa kepada permasalahan ini antaranya tidak berminat untuk menjalani sesi persekolahan, kurang keupayaan diri, kurangnya akses pengangkutan dan pendidikan, ketidakmampuan ekonomi, masalah keluarga dan sebagainya.
Generasi Z adalah gelaran kepada golongan yang lahir pada 1997-2012. Gen Z kini berusia antara 12 hingga 27 tahun. – Agensi