Hanya disebabkan diterima 175 negara, rakyat dipaksa untuk terima kembali GST

Hanya disebabkan diterima 175 negara, rakyat dipaksa untuk terima kembali GST

Sembilan bulan diperlukan bagi cukai barang dan perkhidmatan (GST) untuk diaktifkan semula, kata Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz.

Katanya, tempoh masa yang lama itu perlu bagi mengambil kira pelbagai peringkat dan bukannya boleh terus diwartakan begitu sahaja.

“Kita (Kementerian Kewangan) kena bawa dahulu ke mesyuarat Kabinet untuk dibincangkan dan selepas itu ke Parlimen untuk beberapa proses dan ini dijangka memakan masa sembilan bulan,” katanya seperti dilaporkan portal FMT.

Terdahulu, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, membayangkan kemungkinan GST dikembalikan semula selepas dimansuhkan kerajaan Pakatan Harapan, pada 2018, demi menambah dana kerajaan.

Sistem percukaian itu diperkenalkan pada 2015 dengan kadar 6% bagi menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan.

Mengulas lanjut, Zafrul memberi gambaran GST mungkin dihidupkan kembali dengan memberi alasan sejumlah 175 negara atau 90% negara di dunia sudah berjaya melaksanakan cukai itu.

“Mesti ada sebab kenapa mereka melaksanakan GST kerana negara yang tidak ada sistem cukai ini melaporkan hasil negara adalah amat rendah termasuk Malaysia sejak tiga tahun lepas,” katanya.