Hanya Tun M berjaya bina kekuatan PH – penganalisa politik
Seorang penganalisis politik berkata keretakan dalam Pakatan Harapan (PH) semakin dalam, tetapi ia tidak mungkin berpecah kerana parti komponen utamanya terlalu lemah untuk berdiri sendiri.
“DAP tidak boleh memenangi hati dan minda pengundi Melayu. Amanah masih parti yang kecil dan PKR juga berada pada tahap yang paling lemah,” kata Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN) Jeniri Amir, seperti dilaporkan portal FMT.
Menurutnya, PKR hilang banyak kekuatan apabila dikaitkan dengan tindakan bekas Timbalan Presiden Azmin Ali yang keluar parti.
Katanya, dalam isu di Johor baru-baru ini, pilihan PKR untuk tidak mahu menggunakan logo PH dan rasa tidak puas hati terhadap Amanah yang menyerahkan kerusi Puteri Wangsa kepada MUDA juga menunjukkan perpecahan dalam parti.
Jeniri berkata, beliau tidak percaya bahawa PH akan menjadi sekuat ketika menjelangnya pilihan raya umum (PRU) pada 2018 dan merasakan tidak banyak yang mereka boleh lakukan mengenainya.
Katanya, ia jelas bahawa kesengsaraan PH telah meningkat sejak “Langkah Sheraton” 2020, dengan keraguan terhadap kepimpinan Anwar Ibrahim dalam gabungan itu dan prestasi buruk dalam pilihan raya negeri (PRN) Melaka dan Sarawak.
Menurutnya, perubahan kepimpinan tidak akan membantu ketika ini dan PH tidak mempunyai alternatif lain terhadap Pengerusinya, Anwar yang bergelut untuk mendapatkan sokongan mencukupi daripada Ahli Parlimen bagi membentuk kerajaan.
“PH perlukan naratif baharu dan harus menjauhi isu seperti 1MDB atau (bekas Perdana Menteri) Najib Razak. Ia tidak lagi relevan untuk rakyat. Mengutuk kes 1MDB tidak akan membawa mereka ke mana-mana.
“Rakyat nampaknya lebih yakin dengan Barisan Nasional (BN) kerana mereka muak dan tidak mahu kerajaan minoriti yang dilihat tidak stabil. Mereka mahu kerajaan lebih stabil yang boleh memulihkan ekonomi dan memastikan persekitaran lebih kondusif untuk perniagaan,” kata Jeniri.
Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) juga berkata perpecahan dalam PH juga semakin berkembang.
Katanya, parti komponen mesti mula mempromosikan idea PH sebagai ‘government-in-waiting’ dan membuka pintunya kepada MUDA.
“PH perlu menerima belia dan menunjukkan yang ia tidak takut kepada perubahan besar dan kepelbagaian.”