Hapuskan overload petugas barisan hadapan!

Hapuskan overload petugas barisan hadapan!

HAPUSKAN ‘OVERLOAD’ PETUGAS BARISAN HADAPAN, MAKSIMUMKAN PENGGUNAAN ‘USP FUND’ UNTUK CAPAIAN INTERNET DI PEDALAMAN

1. Dengan rantaian fenomena menyedihkan yang menimpa para petugas barisan hadapan, Pemuda AMANAH menggesa agar penyusunan semula tugas dilakukan dengan segera serta bersifat manusiawi. Pada masa yang sama, mana-mana tragedi buruk yang menimpa barisan hadapan ini, siasatan lebih adil wajar dilakukan dan keluarga mereka diberikan pampasan setimpal.

2. Sebagai permulaan, kerajaan boleh menyerap secara bertahap staf-staf bawah Kementerian Kesihatan yang berstatus kontrak. Walau berdepan dengan kekangan kewangan, dalam situasi kritikal kerajaan sewajarnya tidak harus terlalu berkira dalam menjaga kebajikan para pejuang barisan hadapan, seterusnya membolehkan mereka melaksanakan tugas dengan cemerlang.

3. Kerajaan juga wajar membuat unjuran ketika ini bahawa pembelajaran secara atas talian bukan lagi alternatif, bahkan telah menjadi medium utama. Masalah capaian internet di kawasan pedalaman wajar ditangani segera. Dalam hal ini, kerajaan digesa untuk memanfaatkan sepenuhnya dana terkumpul ‘Universal Service Provision’ (USP fund) bawah Kementerian Komunikasi & Multimedia untuk menangani hal tersebut.

4. Kita tidak pasti berapa lagi berbaki dana terkumpul ini. Namun yang pasti, hujung Februari tahun lalu – sebelum dijatuhkan – kerajaan Pakatan Harapan telah mengumumkan peruntukan dana sebanyak RM3 bilion daripada ‘USP fund’ untuk menggerakkan ‘National Fiberisation & Connectivity Plan’ (NFCP). Mungkin menteri sekarang boleh melaporkan perkembangan projek, sama ada diteruskan atau tergendala.

5. Jika diteruskan, rakyat perlu tahu perkembangan keenam-enam projek bawah NFCP yang sepatutnya telah bergerak dengan baik. Jika tergendala, rakyat juga berhak tahu mengapa dan bagaimana ianya boleh tergendala. Situasi luar biasa menuntut langkah yang luar biasa. Sekiranya menteri masih termangu-mangu dan tidak proaktif, lebih baik berundur sahaja dengan terhormat.

“Memimpin Gerakan Kepemudaan”
“Memperkukuh Kemakmuran Sosial”

SHAZNI MUNIR MOHD ITHNIN
Ketua Pemuda AMANAH Nasional

24 Januari 2021 | 11 Jamadil Akhir 1442H