Harga dedak naik lagi, apa pula alasan menteri selepas ini
Harga makanan ternakan yang semakin hari semakin meningkat terus menimbulkan kegelisahan dalam kalangan penternak yang mengakui kian terbeban dengan situasi semasa tersebut.
Pengerusi Persatuan Usahawan Ruminan Negeri Sembilan (PURNS), Maarif Maarof berkata, harga dedak yang meningkat sehingga 30 peratus sejak tahun lalu memberi tekanan kepada penternak ketika kerajaan masih dilihat tidak berupaya mengawalnya.
“Buat masa ini golongan penternak susah hati dengan kenaikan harga makanan ternakan sejak tahun lepas, ia begitu mendadak. Alasan diberikan kerana bahan mentah sukar didapati jadi saya minta supaya kerajaan lakukan sesuatu dan mengawal harga dedak ini.
“Penternak perlu terus memberikan ternakan mereka makanan tetapi harga makanan ternakan pula tinggi, kesannya nanti tentu harga produk akhir kepada pengguna iaitu daging juga tinggi.
“Penternak tidak boleh jual pada harga yang ditetapkan kerajaan kerana harga kos penternakan juga sudah tinggi. Tentunya sebelum ini kami sudah minta kerajaan untuk kawal harga makanan ternakan tetapi ia terus berlaku dan ini memerlukan tindakan segera oleh kerajaan,” katanya seperti dilaporkan portal Utusan Online.
Beliau ditemui pemberita pada Majlis Lawatan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Sembilan, Datuk Bakri Sawir ke Rumah Sembelih Ruminan Besar Sumobek Sdn. Bhd. di Kampung Melayu Panchor, di sini hari ini.
Menurut Maarif, harga makanan ternakan kambing pada bulan Mac tahun lalu adalah sekitar RM52 bagi setiap 50 kilogram namun kini ia meningkat kepada RM64/50 kilogram.
Tambahnya, harga makanan ternakan lembu juga meningkat kepada RM65 bagi setiap 50 kilogram ketika ini berbanding RM56 pada tahun lalu.
“Penternak berusaha mengurangkan kos ternakan contohnya ada pengusaha yang buat makanan ternakan sendiri dengan beli bahan mentah dan proses sendiri untuk kurangkan kos termasuk dengan menanam rumput.
“Bagaimanapun, harga dedak tetap terus semakin tinggi, itu yang merunsingkan penternak. Kerajaan mahu pengeluaran penternakan terus meningkat tetapi kalau harga makanan ternakan terlalu tinggi, penternak tidak mampu untuk mengusahakannya dengan skala yang besar,” katanya