“Hari paling gembira menjadi hari paling duka” – Ibu tersayang meninggal selepas akad nikah
Setiap wanita mahukan hari perkahwinan yang sempurna dan diingati sepanjang hayat mereka, namun setiap segala ketentuan bukanlah di tangan kita.
Terbaru, seorang wanita terpaksa berdamai dengan takdir apabila ibunya pergi buat selamanya sejurus dia melangsungkan akad nikah.
Perkongsian oleh Mohd Asmawie menerusi laman Instagram miliknya itu meruntun hati netizen, wanita yang dikenali sebagai Ika itu merupakan teman baiknya dan dia berasa bangga dengan kekuatan yang ditonjolkan oleh Ika.
“Bagaimana aku nak menggambarkan perasaan yang dirasa. Gembira sedikit, tetapi dukanya yang lebih. Aku bangga dengan dia, dia kuat untuk berdiri uruskan jenazah dengan sebaik mungkin,” tulisnya di video.
Difahamkan, Ika terus kembali ke majlis bagi menghormati tetamu yang hadir dari Indonesia dan Singapura selepas menguruskan jenazah ibunya.
“Hebat awak sis”
Video yang turut dikongsi di TikTok itu mendapat perhatian ramai, rata-rata netizen sebak namun ramai yang kagum dengan kekuatan pengantin baru itu.
Malah, ruangan komen juga dibanjiri dengan doa-doa untuk Allahyarhamah serta ucapan takziah kepada keluarganya.
Al-Fatihah…