Hari pertama tayangan filem Anwar : The Untold Story catat kutipan RM1 Juta

Hari pertama tayangan filem Anwar : The Untold Story catat kutipan RM1 Juta

Filem Anwar: The Untold Story yang mengisahkan perjuangan Perdana Menteri, Datuk Sri Anwar Ibrahim dalam arena politik tanah air berjaya mencatat jumlah kutipan RM1 juta pada hari pertama tayangannya, semalam.

Sambutan luar biasa

Pengerusi DMY Creation, Datuk Mohamed Yusoff berkata, pihaknya tidak menyangka kebanyakan pawagam di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak penuh pada hari pertama tayangan.

Kami bersyukur filem terbitan Yusrych Global Sdn Bhd ini meraih sambutan luar biasa.

Lebih menggembirakan rakyat Malaysia memilih menonton filem biopik yang mengangkat kisah perjuangan Perdana Menteri berbanding karya antarabangsa.

Filem Anwar: The Untold Story menjadi pembuka jalan untuk pembikin filem menghasilkan filem biopik mengenai tokoh lain pada masa depan.

Ia sekali gus membuktikan penerimaan penonton terhadap naskhah biopik berdasarkan kisah benar tokoh negarawan yang masih hidup.

Sementara itu, Penerbit Eksekutif yang juga penulis cerita asal filem, Zulkiflee Anwar Haque atau Zunar bersyukur dengan sambutan luar biasa yang diterima.

Menerusi hasil tinjauan, orang ramai tidak melepaskan peluang memenuhi beberapa pawagam terpilih sekitar Lembah Klang seperti di Atria, MBO, Paradigm Mall, One Utama dan KLCC untuk menonton filem ini.

Kami berharap sambutan terhadap filem Anwar: The Untold Story akan berterusan kerana kami mensasarkan kutipan tinggi untuk filem ini.

Cipta sejarah

Mengulas mengenai filem Anwar: The Untold Story lagi, kata Zunar, filem itu juga mencipta sejarah kerana menjadi filem paling banyak menerima tempahan awal oleh pawagam.

Dalam masa sama, Zunar berharap filem itu mendapat sambutan berterusan orang ramai.

Saya akui filem ini banyak terima tempahan lebih awal oleh pihak pawagam. Contohnya, pawagam di MidValley dan Pulau Pinang yang sudah penuh dan ditempah lebih awal untuk tayangan filem ini.

Filem Anwar: The Untold Story ini adalah genre yang jarang ada di Malaysia kerana ia membongkar kebenaran dan apa yang berlaku pada 1988.

Justeru, saya berharap orang ramai akan datang untuk menonton kisah benar yang tidak pernah didedahkan oleh Perdana Menteri.

Anwar: The Untold Story diterajui oleh aktor Farid Kamil yang memegang watak sebagai Anwar, manakala aktres terkenal Indonesia, Acha Septriasa membawa watak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail selaku teraju utama.

Selain itu, filem arahan pengarah Indonesia, Viva Westi itu dimantapkan lagi dengan barisan pelakon seperti Hasnul Rahmat, Firdaus Karim, Saskia Chadwick, Piet Pagau dan Dewi Irawan.

Filem ini juga menyaksikan penyanyi tersohor, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyanyikan lagu runut bunyi filem berjudul Menjaga Cintamu ciptaan Andi Rianto dan lirik oleh Sekar Ayu Asmara.

Selain Malaysia sebagai lokasi utama, filem Anwar: The Untold Story menjalani penggambaran di Indonesia.

Anwar: The Untold Story mengisahkan perjuangan dan pengorbanan Anwar menentang amalan rasuah dengan sokongan isterinya.

Filem memfokuskan bagaimana Anwar tegas menolak pelbagai jenis imbuhan dan wang tunai menyebabkannya difitnah dalam konspirasi besar hingga dipecat, dipukul secara brutal dalam lokap dan dibiarkan tanpa rawatan sehingga beberapa hari.