Hasrat Hamid Bador ‘mencuci’ badan kepolisian tidak kesampaian, polis jahat melompat keriangan

Hasrat Hamid Bador ‘mencuci’ badan kepolisian tidak kesampaian, polis jahat melompat keriangan

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengulangi pendirian bakal mengundur diri dan menamatkan tugas memimpin Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 4 Mei hadapan.

Beliau yang ditemui wartawan Harian Metro semalam memaklumkan, biarpun ada pihak menyarankannya menyambung khidmat serta menaikkan semula imej PDRM namun beliau merasakan sudah melakukan segala terbaik.

“Kontrak saya akan tamat pada 3 haribulan (Mei), maka pada tarikh itu saya akan serah (tugas kepada pengganti),” ujarnya.

Hamid berkata, beliau menyedari ada pihak yang mengadakan pungutan undian di media sosial sama ada khidmatnya wajar dilanjutkan bersama PDRM bagi membolehkan usaha membanteras kartel serta jenayah terancang dilakukan.

“Saya tak terbabit isu ini (pungutan undian). Ada orang maklumkan saya berkaitan poll (undian). Saya tak mahu ulas. Ada tuduh saya sengaja uar-uarkan perkara ini supaya kontrak saya dapat disambung.

“Walaupun hampir 70 peratus yang mengundi mahukan saya menyambung khidmat namun saya melihat pada 30 peratus (baki pengundi yang tidak menyokong). Maknanya cukup lah tu (tempoh berkhidmat),” katanya.

Ditanya berhubung misi dan matlamatnya untuk ‘membersihkan’ imej PDRM dari anasir kartel dan isu integriti, beliau yakin penggantinya akan menyambung usaha itu kelak.

“Saya harap barisan pelapis PDRM kelak menghayati (soal imej dan integriti). Saya sudah banyak kali sebut dan memberi amanat berhubung hasrat dan misi saya untuk membersihkan nama pasukan dan mengembalikan integriti tinggi polis. Tujuannya supaya orang ramai mendapat mutu perkhidmatan terbaik,” katanya.

Beliau berkata, tugas dipikul sebagai anggota PDRM adalah amanah besar demi rakyat dan negara.

“Perlu niatkan dalam diri kita, apabila kita memakai seragam PDRM ini, perlu muhasabah berhubung tanggungjawab dan amanah harus dijaga. Perlu jujur dan bersih untuk mengembalikan imej baik pasukan. Barulah orang ramai akan yakin semula pada polis,” katanya.

Abdul Hamid mula menyertai pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai Inspektor Pelatih, pada 4 November 1979 sebelum ditempatkan di Cawangan Khas (SB) Bukit Aman bermula 1980 hinggalah 1996.

Pada 1999, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak sebelum kembali ke Cawangan Khas, Bukit Aman pada 2001, seterusnya dilantik sebagai Ketua Cawangan Khas, Polis Kontinjen Kelantan pada 2005.

Setahun selepas itu, beliau dilantik pula sebagai Ketua Jabatan Cawangan Khas, Polis Kontinjen Sabah sebelum dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Pengarah Cawangan Khas 1 pada 2009.

Beliau kemudian ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri pada 18 Ogos 2015 sebelum dilantik sebagai Pengarah Cawangan Khas, tidak lama selepas Pakatan Harapan (PH) mentadbir kerajaan.

Abdul Hamid mula mendapat perhatian pada 2015 apabila mendedahkan ada pihak tertentu menyembunyikan saksi utama dalam siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) selain mendesak siasatan secara telus semasa menjawat jawatan Timbalan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman.

Beliau bagaimanapun dilantik sebagai Ketua Polis Negara (KPN) secara kontrak, bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 4 Mei 2019 hingga 3 Mei 2021. – HM