Hasrat mulia pengendali jetski membantu pelanggan yang lemas bertukar sebaliknya

Hasrat mulia pengendali jetski membantu pelanggan yang lemas bertukar sebaliknya

Pengendali jet ski yang dilaporkan hilang dalam kejadian di Monkey Beach, di sini, semalam ditemui lemas pada jam 10.25 pagi tadi.

Mangsa, Muhammad Asrul Aswad, 23, ditemui terapung kira-kira 100 meter dari lokasi dilaporkan hilang.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Pulau Pinang, Kepten Maritim

Abd Razak Mohammed, berkata mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis dan dibawa ke Hospital Balik Pulau bagi bedah siasat.

Katanya, operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada 11.10 pagi oleh Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi selepas mangsa ditemui.

“Turut terbabit dalam operasi berkenaan ialah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Polis Marin Batu Uban dan Angkatan Pertahanan Awam.

“Kami turut menerima bantuan nelayan tempatan bersama enam bot,” katanya di sini, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan gerakan mencari mangsa hilang dilakukan JBPM sejurus menerima panggilan kecemasan pada jam 4.07 petang.

Muhammad Asrul dilaporkan hilang selepas terjatuh daripada jet ski yang ditunggangnya ketika cuba menyelamatkan dua pelanggan yang turut terjatuh daripada jet ski.

Mangsa dilihat tidak memakai jaket keselamatan serta tidak berbaju dan hanya berseluar hitam sewaktu kejadian.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Teluk Bahang. – BH