Hasrat Najib ‘berehat’ sebulan ditolak

Hasrat Najib ‘berehat’ sebulan ditolak

Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan pasukan pembelaan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan perbicaraan bagi tempoh satu bulan.

Sewaktu mengemukakan permohonan tersebut, ketua pasukan pembelaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya memerlukan tempoh masa berkenaan bagi mendapatkan beberapa dokumen.

Dokumen tersebut merupakan bukti terbaharu berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dari mahkamah di New York, Amerika Syarikat, serta Singapura.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil berkata, panel tiga hakim prosiding berkenaan sebulat suara menolak permohonan itu dan memutuskan perbicaraan diteruskan hari ini juga.

“Kami sebulat suara memutuskan untuk menolak permohonan ini. Tiada asas kukuh untuk kami memberi tambahan masa,” katanya.
Dua lagi anggota panel ialah Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Has Zanah Mehat.

Najib, yang juga Ahli Parlimen Pekan, tiba di Istana Kehakiman, di sini, untuk hari pertama proses rayuan beliau terhadap keputusan Mahkamah Tinggi 28 Julai tahun lepas yang mendapati beliau bersalah ke atas kesemua tujuh pertuduhan melibatkan dana RM42 juta dari SRC International Shn Bhd.

Bekas Presiden UMNO itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan salah guna kuasa berkaitan kes SRC International.

Bagi tiga kesalahan pecah amanah dan tiga lagi kesalahan pengubahan wang haram, setiap pertuduhan membawa hukuman penjara 10 tahun.

Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bagaimanapun memerintahkan semua hukuman penjara berjalan serentak dan tiada denda dikenakan untuk pertuduhan pengubahan wang haram.

Bernama pada 26 Mac lepas melaporkan, Mahkamah Tinggi telah menetapkan 20 Mei ini untuk mendengar permohonan Najib bagi mendapatkan perintah mahkamah agar pihak pendakwaan mengemukakan beberapa penyata perbankan dan dokumen lain berhubung dana 1MDB bernilai RM2.3 bilion.

Najib dalam afidavitnya bertarikh 24 Mac berkata, dokumen berkenaan kritikal bagi menyokong proses pembelaannya dan ia tidak dikemukakan pihak pendakwaan sebelum kes itu bermula.

Berdasarkan afidavit berkenaan, Najib mendakwa antara dokumen yang berada dalam simpanan pendakwaan dan beberapa entiti lain, mempunyai hubung kait dengan ahli perniagaan Low Taek Jho, serta ahli keluarga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz.

Susulan permohonan itu, Muhammad Shafee sewaktu awal prosiding hari ini berkata, atas sebab itu pihaknya memohon agar diberikan tempoh masa satu bulan untuk mereka mendapatkan dokumen berkenaan.

Namun, panel tiga hakim berkenaan memutuskan, prosiding rayuan hari ini berjalan seperti biasa dan permohonan berkenaan boleh dilakukan pada masa hadapan sekiranya mempunyai justifikasi yang kukuh.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 5 hingga 8, 12 hingga 15 dan 19 hingga 22 April untuk mendengar rayuan itu.

Dalam petisyen rayuannya, sebanyak 307 alasan telah dikemukakan bagi membuktikan beliau tidak bersalah dan keputusan Mahkamah Tinggi harus diketepikan. – AA