Hasrat nak kahwin musnah, duit KWSP duda ini lesap dikebas kekasih

Hasrat nak kahwin musnah, duit KWSP duda ini lesap dikebas kekasih

 

Hasrat seorang duda untuk berumah tangga semula setelah sekian lama membujang hancur berkecai apabila wanita pujaannya menghilangkan diri tanpa dapat dikesan.

Lebih memburukkan keadaan, wanita itu ‘pergi’ bersama simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang sudah bertahun-tahun dikumpul oleh duda terbabit.

Difahamkan, duda terbabit bertindak memindahkan semua simpanan KWSP miliknya ke dalam akaun bank kepunyaan kekasihnya selepas termakan pujuk rayu wanita itu.

Pemindahan itu dilakukan demi menunaikan permintaan kekasihnya yang kononnya berniat mahu membantu menguruskan kewangan selepas mereka berkahwin kelak.

Namun sebaik sahaja seluruh simpanannya dipindahkan, teman wanitanya itu terus menghilangkan diri bersama wang tersebut dan gagal dijejaki sehinggalah sekarang.

Kisah pilu lelaki berstatus duda yang dipercayai terjerumus ke dalam kancah sindiket penipuan itu diceritakan oleh seorang perawat Islam menerusi hantaran di Facebook.

“Kerja berpuluh tahun. Tetapi dalam masa satu hari sahaja, wang simpanan KWSP habis lesap angkara percayakan teman wanita. Duit sebanyak itu, teman wanitanya suruh masukkan ke dalam akaun bank dia.

“Kononnya, dia nak bantu jaga simpanan selepas kahwin nanti. Lama menduda, bila bercinta habis semua harta diberikan. Sekarang kena tipu. Perempuan itu larikan diri, tak dapat dikesan.

“Habis duit KWSP lesap kena kapur (tipu),” kongsi pengamal perubatan alternatif itu selepas merawat duda berkenaan yang hilang semangat akibat semua simpanannya lesap dikebas.

Duda itu turut mengalami tekanan yang teruk hingga perlu berjumpa doktor psikiatri setiap bulan selain bergantung kepada ubat-ubatan untuk meneruskan kehidupan.

Masih belum pulih terutamanya apabila mengenangkan semua simpanan hari tuanya hilang begitu sahaja, duda berkenaan kini berikhtiar dengan kaedah perubatan Islam.

“Sekarang dia mengalami tekanan perasaan, setiap bulan jumpa doktor psikiatri. Terpaksa makan ubat penenang memikirkan nasib selepas pencen dengan duit satu sen habuk pun tiada.

“Hati-hari semua. Sekarang banyaklah kes penipuan ‘Love Scam’. Jangan sudah licin (duit) barulah nak menyesal. Waktu itu sudah tak guna.” Tulis perawat terbabit dalam perkongsian sama.